web analytics

Lawatan Pemangku Duta Besar Indonesia ke JIM

17 August 2011

KDN Sana Sini

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menerima lawatan dari Pemangku Duta Besar Indonesia, Mulya Wirana serta delegasi pada 15 Ogos 2011. Lawatan yang bertujuan untuk meninjau operasi pendaftaran Program 6P telah diadakan di Ibu Pejabat JIM, Putajaya sekitar jam 2.00 petang.

Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Dato’ Alwi Haji Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan), Kementerian Dalam Negeri dan Dato’ Alias Haji Ahmad, Ketua Pengarah JIM.

Dalam sidang media yang diadakan, Dato Alwi menyeru agar majikan dan PATI keluar mendaftar dalam tempoh yang ditetapkan dan tidak menunggu sehingga ke saat akhir bagi mengelakkan kesesakan di kaunter pendaftaran.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Mulya Wirana telah menyatakan sokongan penuh Kerajaan Indonesia terhadap usaha Kerajaan Malaysia melaksanakan Program 6P yang dilihat amat efektif dengan penggunaan sistem biometrik. Dalam masa yang sama, Kerajaan Indonesia juga ingin mengetahui jumlah sebenar warga mereka di negara ini. Beliau turut menyifatkan langkah ini sebagai ‘kesempatan emas’ kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), khasnya warga Indonesia untuk mendaftarkan diri dengan Program 6P bagi mengelak kemungkinan mereka dijadikan objek ekploitasi atau mangsa pemerdagangan.

Di samping itu, Mulya Wirana menyeru PATI warga Indonesia untuk mendaftar di Pejabat Imigresen berhampiran mereka sekiranya ragu-ragu dengan caj yang dikenakan oleh mana-mana syarikat pengurus.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan supaya PATI warga Indonesia untuk mendaftar dengan identiti sebenar bagi mengelakkan sebarang kesulitan di masa akan datang.

–team berita ikdn

, , ,