
Menteri Dalam Negeri, Dato’Seri Hishammuddin Tun Hussein meluahkan rasa bangga dan terima kasih kepada semua Pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), khasnya Ketua Pengarah yang telah bertekad untuk meneruskan pendaftaran Program 6P. Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama semua Pengarah Imigresen Negeri di Bilik Mesyuarat Menteri, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya pada Isnin lalu (15 Ogos 2011).

Dalam Sidang media selepas itu, Dato’ Seri Hishammuddin menjelaskan Program 6P adalah sebahagian daripada transformasi JIM. Kesediaan JIM dalam memikul tanggungjawab yang besar ini wajar dipuji kerana Program 6P bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
“Hanya mereka yang mempunyai tekad dan komited sahaja mampu melaksanakannya”, ujar beliau.

Tambah beliau, Program 6P bukan sahaja bermatlamat untuk memantapkan pengurusan warga asing di Malaysia tetapi juga berhubung kait dengan usaha Kerajaan dalam memerangi jenayah rentas sempadan yang melibatkan kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia; penyeludupan dadah dan senjata; money laundering; dan pengganas.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Dato’ Alwi Haji Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan), Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Alias Haji Ahmad, Ketua Pengarah JIM, dan Dato’ Zaitun Ab. Samad, Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri.
–team berita ikdn


















16 August 2011
KDN Sana Sini