
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Alwi Haji Ibrahim telah mengadakan satu sidang media khas mengenai permasalahan yang timbul di hari pertama pendaftaran Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pada 2 Ogos 2011.
Jelas beliau, satu taklimat dan sesi dialog telah diadakan di antara Tan Sri Mahmood Adam, Ketua Setiausaha (KSU) KDN dengan Syarikat Pengurus dan pihak Nexbis bagi mendapatkan maklum balas mengenai segala masalah yang berlaku di beberapa lokasi pendaftaran PATI yang dibuka oleh Syarikat Pengurus.

Tambah beliau, KDN telah merekodkan segala permasalahan yang dilaporkan dan akan menyelesaikannya dalam tempoh 24 jam seperti yang disarankan oleh Tan Sri KSU.
Mengulas lanjut, antara masalah yang dihadapi oleh syarikat pengurus adalah sistem komputer tidak compatible dengan mesin pengimbas biometrik dan masalah kata laluan NERS (National Foreigners Enforcement and Registration System).
Di samping itu, Dato’ Alwi Haji Ibrahim turut memohon kerjasama daripada Syarikat Pengurus untuk memaklumkan dengan lebih awal kepada Pengarah Imigresen Negeri masing-masing atau Pegawai Imigresen yang bertugas mengenai pertukaran lokasi pendaftaran PATI. Hal ini bertujuan untuk mengatasi masalah kelewatan pegawai Imigresen ke lokasi kaunter pendaftaran.

Sementara itu, sejumlah 14,801 Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) didaftarkan menerusi 197 pejabat imigresen dan 336 syarikat pengurus Semenanjung Malaysia pada hari pertama pendaftaran Program 6P yang bermula semalam (1 Ogos 2011).
–team berita ikdn


















3 August 2011
KDN Sana Sini