web analytics

SIARAN MEDIA – Syarikat Pengurus 6P Disiasat Mengubah Suai Sistem Biometrik

10 August 2011

Kenyataan Media/Akhbar

Dato’ Alwi Ibrahim
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan)
Pendaftaran dan Imigresen
Kementerian Dalam Negeri

SYARIKAT PENGURUS 6P DISIASAT MENGUBAH SUAI SISTEM BIOMETRIK
10 OGOS 2011

1. Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat beberapa syarikat pengurus bagi Program 6P yang dikenal pasti menggunakan khidmat perunding teknologi maklumat (IT) tidak sah untuk mengubahsuai peralatan biometrik yang digunakan bagi program ini tanpa pengetahuan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

2. Sehingga semalam, hasil pemantauan KDN mendapati kira-kira 600 peralatan yang dikendalikan syarikat pengurus telah diubahsuai, sekali gus tidak lagi memenuhi spesifikasi ditetapkan Kerajaan untuk tujuan kegunaan bagi program ini.

3. Tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan kerosakan kepada sistem yang telah diselaraskan KDN dan pada masa yang sama turut dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan.

4. Kesannya, data yang diambil daripada pekerja dan pendatang tanpa izin (PATI) gagal dimuat naik ke dalam server utama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk dijumlahkan dengan statistik lain yang diterima daripada seluruh Negara.

5. Sehubungan itu, semua syarikat pengurus diberi amaran keras supaya tidak melakukan sebarang percubaan serupa kerana gangguan sistem ini berisiko mengeluarkan slip Nexcode pendaftaran PATI dengan nombor kod rujukan berganda. Jika ini berlaku, PATI kelak akan berhadapan masalah ketika proses pemutihan dan pengampunan.

6. Untuk syarikat pengurus yang memerlukan bantuan menyelesaikan kes-kes begini, mereka diminta merujuk kepada kaunter setempat KDN di ibu pejabat Kementerian yang ditubuhkan sejak 8 Ogos lalu sebagai inisiatif membantu syarikat pengurus menangani masalah teknikal jika masih wujud.

7. Sementara itu, sehingga semalam (9 Ogos 2011), jumlah pendaftaran PATI dan Pekerja Asing Sah telah merekodkan sejumlah1,637,725 orang.

8. Daripada jumlah tersebut, 830,837 adalah angka yang dicatatkan untuk Pendaftaran Pekerja Asing Sah yang bermula 13 Julai lalu.

Tamat/.

, ,