Dato’ Alwi Ibrahim
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan)
Pendaftaran dan Imigresen
Kementerian Dalam Negeri
PELAKSANAAN PROSES PEMUTIHAN SEBAGAI KOMPONEN KEDUA PROGRAM 6P
(SEMPENA WALK-ABOUT KE SYARIKAT PENGURUS PROGRAM 6P – AGENSI PEKERJAAN MEPRO SDN BHD)
Kuala Lumpur, 19 Ogos 2011
1. Secara umumnya, Kerajaan berpuas hati dengan proses pendaftaran Program 6P yang bermula sejak 1 Ogos 2011, walaupun di peringkat awalnya terdapat beberapa permasalahan teknikal yang dilapor melibatkan beberapa syarikat pengurus.
2. Komponen selanjutnya dalam Program 6P iaitu proses pemutihan dijadual akan bermula pada pertengahan September 2011. Tarikh tepat akan diumumkan pada awal bulan September sebaik semua data serta maklumat yang diperoleh melalui proses pendaftaran ini selesai diproses dan disusun untuk diguna pakai dalam proses pemutihan yang akan menyaring PATI bagi dipertimbangkan sebagai pekerja asing sah dengan senarai majikan yang berdaftar. Untuk tujuan ini, pertimbangan bagi setiap permohonan pemutihan akan ditentukan oleh kementerian atau agensi kawal selia yang bertanggungjawab terhadap sektor dan sub-sektor yang berkenaan.
3. Proses pemutihan akan melibatkan dua kategori seperti berikut:
a. Para majikan yang menggajikan PATI yang telah didaftarkan menerusi Program 6P ini boleh mengemukakan permohonan supaya senarai pekerja mereka itu diputihkan.
b. Sementara itu, bagi PATI yang tidak mempunyai majikan, mereka akan dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan kerja sebagaimana keperluan majikan-majikan yang memohon pekerja asing melalui Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia (KSM), selain berdasarkan permohonan sedia ada yang telah dikemukakan di Pusat Kelulusan Setempat, Bahagian Pekerja Asing, Kementerian Dalam Negeri (KDN).
4. Permohonan untuk proses pemutihan perlu dikemukakan dengan menggunakan khidmat syarikat pengurus yang sama ketika proses pendaftaran. Bagaimanapun, Kerajaan telah menetapkan kadar bayaran maksimum bagi caj perkhidmatan yang boleh dikenakan oleh syarikat pengurus iaitu tidak lebih RM300. Bagaimanapun, selain caj tersebut, terdapat beberapa bayaran wajib lain yang perlu dibayar kepada Kerajaan –sama sebagaimana proses biasa pengambilan pekerja asing yang dipraktikkan selama ini, antaranya levi serta pas lawatan kerja sementara. Maklumat lanjut dan terperinci akan diumumkan kelak oleh Jawatankuasa Pelaksana sebelum proses pemutihan dimulakan.
5. Hanya PATI yang telah berdaftar dengan Program 6P sahaja akan dipertimbangkan untuk tujuan pemutihan. Sehubungan itu, semua majikan dan PATI sekali lagi dinasihat supaya menggunakan tempoh terakhir yang masih ada ini untuk tampil mendaftar, sekali gus mengambilnya sebagai peluang terakhir untuk membolehkan pekerja asing mereka didaftarkan secara sah.
6. Sementara itu, sehingga pagi ini (Jumaat, 19 Ogos 2011), lebih dua juta atau 2,088,358 pekerja asing sah dan PATI telah didaftarkan, dengan 1,135,499 daripadanya adalah PATI yang berdaftar menerusi Program 6P.
7. Walaupun angka ini menggalakkan, namun dipercayai bahawa masih ramai PATI yang belum berbuat demikian. Di Cameron Highland, Pahang contohnya, dianggarkan lebih 20,000 PATI bekerja di ladang teh serta kebun-kebun sayurnya, tetapi jumlah yang tampil mendaftar setakat ini hanya kira-kira 11,000 orang. Justeru, majikan digesa supaya bertindak proaktif mendaftarkan pekerja mereka masing-masing bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta risiko diusir keluar dari negara ini.
=tamat=


















19 August 2011
Kenyataan Media/Akhbar