web analytics

SIARAN MEDIA – Statistik Terkini Program 6P Dan Makluman Kerajaan Negeri Sabah Melanjutkan 5P Di Empat Kawasan

9 August 2011

Kenyataan Media/Akhbar

Dato’ Alwi Ibrahim
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan)
Pendaftaran dan Imigresen
Kementerian Dalam Negeri

STATISTIK TERKINI PROGRAM 6P DAN MAKLUMAN KERAJAAN NEGERI SABAH MELANJUTKAN 5P DI EMPAT KAWASAN
9 OGOS 2011

1. Sehingga semalam (8 Ogos 2011), jumlah Pendaftaran PATI dan Pekerja Asing Sah telah merekodkan sejumlah 1,548,798 pendaftaran.

2. Daripada jumlah tersebut, 834,233 adalah jumlah yang dicatatkan untuk Pendaftaran Pekerja Asing Sah yang bermula 13 Julai lalu.

3. Sementara itu, Kerajaan Negeri Sabah telah memutuskan bahawa proses pendaftaran pekerja dan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi Program 5P di empat kawasan di negeri itu dilanjutkan sehingga esok (Rabu, 10 Ogos 2011), manakala operasi di lima kawasan lain ditamatkan hari ini (Selasa, 9 Ogos 2011).

4. Empat kawasan yang dilanjutkan operasi pendaftarannya ialah Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau, manakala lima yang ditamatkan hari ini ialah Kudat, Ranau, Sipitang, Keningau dan Semporna.

5. Sejak dimulakan 18 Julai lalu, jumlah PATI yang telah didaftarkan di Sabah ialah 157,966.

6. Sementara itu, dalam perkembangan lain, bermula semalam, Isnin (8 Ogos 2011), Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah mewujudkan satu kaunter setempat, berlokasi di ibu pejabat KDN, Putrajaya untuk bertanggungjawab sepenuhnya menangani semua masalah teknikal yang dihadapi 336 syarikat pengurus dalam mengendalikan pendaftaran menerusi Program 6P.

7. Inisiatif mewujudkan kaunter khas ini adalah sebagai komitmen KDN terhadap usaha memastikan segala aktiviti mendaftarkan PATI menerusi Program 6P yang bermula 1 Ogos lalu ini dapat berjalan dengan lebih lancar.

8. Selain kakitangan KDN, kaunter ini turut dikendalikan wakil syarikat pembekal yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sistem perisian yang digunakan dalam program ini.

9. Ia juga merupakan inisiatif tambahan kepada arahan KDN kepada lebih 100 kakitangan teknologi maklumatnya minggu lalu untuk turun ke lapangan, memantau serta membantu 1,934 kaunter pendaftaran yang dikendalikan 336 syarikat pengurus menyelesaikan masalah teknikal yang mungkin masih berlaku selepas lebih seminggu program ini bermula.

Tamat/.

, ,