web analytics

Sidang Media Jabatan Penjara mengenai dakwaan pelajar SMK Bandar Baru Uda (SMKBBU), Johor Bahru, Johor

2 August 2011

KDN Sana Sini

Bertempat di Bilik Sidang Media, Kementerian Dalam Negeri, satu sesi sidang media oleh Datuk Wira Zulkifli Omar, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia telah diadakan pada 2 Ogos 2011 mengenai isu beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU), Johor Bahru, Johor yang mandakwa mereka telah didera sewaktu mengikuti Program Pencegahan Jenayah Price of Freedom di Penjara Kluang, Johor. 

Dato’ Wira Zulkifli berkata, setakat ini, hasil siasatan awal yang dilakukan mendapati dakwaan para pelajar yang mengikuti program tersebut bahawa mereka telah ditumbuk, ditempeleng, diterajang dan mendapat layanan di luar batasan adalah tidak benar. Walaubagaimanapun, siasatan terperinci tetap dijalankan dan sekiranya pihak-pihak tertentu mempunyai maklumat tambahan yang boleh membantu merungkai dakwaan ini, mereka dinasihatkan untuk menghubungi Jabatan Penjara menerusi talian 03-87328081 atau e-mel zulkifli@prison.gov.my.

Tambah beliau, pihak Penjara akan memaklumkan hasil siasatan terperinci dari masa ke semasa dan menyelesaikan kes ini selewat-lewatnya pada 5 Ogos 2011. Tegas beliau, sekiranya terdapat penemuan yang membuktikan salah laku dan layanan di luar batasan seperti yang didakwa, Jabatan Penjara tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya terhadap anggota yang terlibat.

Mengulas lanjut, Dato’ Wira Zulkifli menerangkan bahawa Program Pencegahan Jenayah Price of Freedom ini sebenarnya telah diadakan di Pusat Latihan Pegawai Penjara (PULAPEN) Kluang, Johor dan bukannya di Penjara Kluang seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini. Tujuan utama program ini adalah untuk memotivasikan dan memberi kesedaran kepada pelajar untuk menghargai nilai sebuah kebebasan melalui pendidikan pencegahan jenayah.

Jelas beliau, Program ini telah dilaksanakan sebanyak enam kali sebelum ini melibatkan penglibatan pelajar dari beberapa sekolah terpilih sekitar Johor Bahru serta telah memberi kesan yang positif kepada peningkatan sahsiah dan kemajuan pelajaran pelajar terlibat.

Dalam sidang media yang sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud memaklumkan satu perjumpaan bersama pihak sekolah (SMKBBU), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Koperasi Penjara (KOPEN) Training Consultant akan diadakan pada 3 Ogos 2011 bagi mendapatkan maklum balas dari semua pihak yang terlibat.

–team berita ikdn

, , , ,