
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan), Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Alwi Haji Ibrahim hari ini (Selasa, 2 Ogos 2011) telah ditemuramah secara eksklusif oleh wartawan dari akhbar Berita Harian mengenai perkembangan terkini mengenai Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P).

Jelas beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memberikan tumpuan kepada Program Pendaftaran Pekerja Asing Sah dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang kini sedang giat dilaksanakan secara serentak.

Mengulas lanjut mengenai pendaftaran PATI yang bermula pada 1 Ogos 2011, Dato’ Alwi berkata, terdapat beberapa masalah yang dilaporkan berlaku pada hari pertama pendaftaran PATI, antaranya masalah sistem komputer dan kelewatan pegawai Imigresen tiba ke lokasi kaunter pendaftaran disebabkan oleh perubahan lokasi pada saat akhir oleh Syarikat Pengurus .

Menurutnya, KDN telah mengambil langkah proaktif bagi mengatasi setiap permasalahan yang timbul. Dalam pada itu, beliau turut menyeru PATI, khasnya majikan yang menggaji PATI untuk tampil dan mendaftar. Tambah beliau, tindakan tidak akan diambil terhadap mana-mana PATI atau majikan yang mendaftarkan PATI untuk tempoh ini.

Selain itu, Dato’ Alwi menasihatkan PATI dan majikan supaya berhati-hati dan tidak menggunakan orang tengah untuk membantu mereka dalam proses pendaftaran bagi mengelakkan sebarang bentuk penipuan dan manipulasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
–team ikdn


















2 August 2011
KDN Sana Sini