web analytics

KENYATAAN AKHBAR Menteri Dalam Negeri

20 September 2011

Kenyataan Media/Akhbar

YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

Status PATI Dalam Jenis Pekerjaan Di Luar Dasar Penggajian Pekerja Asing Semasa

Putrajaya, 20 September 2011

Laporan Pelaksanaan Fasa Pertama Program Penyelesaian Menyeluruh Menangani Pekerja Asing Tanpa Izin – PATI (Program 6P) iaitu Proses Pendaftaran yang berakhir pada 31 Ogos lalu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu. Jemaah Menteri telah mengambil maklum dan memandang serius mengenai perkara ini dan berpendapat bahawa Program 6P adalah usaha penting dalam memantapkan pengurusan warga asing dalam negara, sekali gus membantu agenda menangani jenayah rentas sempadan khususnya jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia.

Jemaah Menteri juga memperakui kepentingan untuk Kerajaan mempunyai data yang tepat berhubung warga asing yang berada di negara ini. Program 6P merupakan satu usaha rintis ke arah mewujudkan sistem data dan maklumat yang komprehensif dengan mengenal pasti jumlah sebenar PATI yang berada di dalam negara dan sekali gus merekodkan data biometrik mereka. 

Selain itu, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya fasa kedua Program 6P iaitu Proses Pemutihan akan dilaksanakan setelah tarikh dan mekanisme pelaksanaan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) pada 3 Oktober 2011. Antara perkara yang akan diputuskan oleh JKKPA-PATI adalah status para PATI yang sedang bekerja dalam sektor di luar Dasar Penggajian Pekerja Asing semasa/sedia ada.

Melalui laporan Proses Pendaftaran Program 6P, statistik menunjukkan seramai 327,991 PATI mengisytiharkan tidak bekerja dalam lima sektor yang dibenarkan dalam dasar semasa kerajaan iaitu perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan. Sebahagian besar daripada jumlah tersebut didapati sedang bekerja dengan majikan tertentu atau dalam jenis dan sektor pekerjaan yang tidak dibenarkan seperti perlombongan, bengkel kereta, restoran makanan segera, gerai, nelayan, pengedar surat khabar, pencucian kenderaan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memanjangkan syor beberapa persatuan majikan dan majikan secara individu yang merayu supaya Kerajaan memberikan kebenaran khas supaya pekerja-pekerja tidak sah mereka yang sedang bekerja dalam jenis pekerjaan di luar sektor untuk turut dilibatkan dalam proses pemutihan. Syor ini merupakan antara maklum balas yang diterima dalam siri perbincangan yang dianjurkan oleh Kementerian dalam merancang pelaksanaan Program 6P. Mereka yang berkenaan merayu agar Kerajaan memberikan kebenaran khas untuk pekerja mereka diputihkan dan berkhidmat secara sah bagi tempoh tertentu untuk memberi ruang kepada mereka melihat semula strategi dan model perniagaan mereka khususnya mengambil kira aspek sumber tenaga kerja. Inilah antara perkara yang akan diangkat untuk pertimbangan JKKPA-PATI untuk mendapatkan keputusan dasar.

Pada masa yang sama, Kementerian yakin data dan maklumat yang lebih terperinci akan dapat diperolehi melalui proses pemutihan kelak. Dalam fasa tersebut, selain memberi ruang kepada para majikan memutihkan pekerja mereka yang kini berstatus PATI, Kerajaan juga akan mendapat maklumat yang tepat berhubung jenis-jenis pekerjaan di luar dasar sedia ada yang banyak menggunakan khidmat tenaga kerja asing. Data dan maklumat ini akan diserahkan kepada Kementarian Sumber Manusia (KSM) dan agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dalam melengkapkan kajian mereka tentang keperluan sebenar pekerja asing. Data dan maklumat ini juga boleh digunakan untuk langkah jangka panjang dalam melihat semula Dasar Penggajian Pekerja Asing semasa/sedia ada dalam konteks untuk memastikan ia bertepatan dengan keperluan dan tuntutan semasa serta diimbangi dengan faktor keselamatan.

Selain daripada PATI yang bekerja di luar dasar semasa, hasil risikan dan pemantauan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Program 6P juga mendapati terdapat PATI yang bekerja sendiri, malah sesetengahnya telah menjadi majikan. Sungguhpun senario ini telah dikenal pasti sejak sekian lama, namun ia sukar ditangani kerana pelbagai faktor antaranya kerana isu salah guna pas dan permit kerja serta pemalsuan dokumen dan identiti. Agensi penguatkuasa akan sukar untuk mengambil tindakan terhadap mereka apabila mereka berselindung di sebalik permit kerja sama ada yang sah atau yang dipalsukan. Melalui Program 6P, Kerajaan akan mempunyai maklumat yang tepat termasuk data biometrik pekerja yang membolehkan status semasa sebenar mereka dikenal pasti.

Inilah kepentingan pelaksanaan Program 6P kerana selain menangani isu berkaitan PATI sedia ada dalam negara, program ini membolehkan Kerajaan mendapat data yang tepat berhubung permasalahan sebenar berkaitan warga asing. Ia membolehkan strategi dan pendekatan yang tepat digariskan bersandarkan kepada fakta yang tepat.

, , ,