DATO’ ABDUL RAHIM MOHAMAD RADZI
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan)
Kementerian Dalam Negeri
KEMENTERIAN DALAM NEGERI MEMELIHARA KESELAMATAN NEGARA DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT
13 SEPTEMBER 2011
Dalam mengimbangi hak kepentingan awam (civil liberty) dengan keselamatan negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa komited untuk menambah baik perkhidmatan mengikut tuntutan semasa di mana keselamatan rakyat tetap menjadi teras dan keutamaan kita.
Dalam menghadapi landskap antarabangsa dan cabaran pesat teknologi maklumat (IT), kerajaan akan bersikap lebih terbuka terhadap pengamal-pengamal media di negara ini dengan mendengar serta mendapatkan maklum balas daripada mereka. Berikutan itu, pihak KDN telah membuka ruang perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan bagi merangka pendekatan dan strategi selanjutnya berhubung usaha ini.
Saya dimaklumkan bahawa, pihak-pihak media akan mengadakan satu sesi perbincangan di kalangan mereka untuk mengenal pasti syor-syor dan agenda penambahbaikan yang kemudiannya akan dikemukakan kepada pihak KDN.
Di samping itu, kerajaan sedang meneliti beberapa perundangan negara-negara lain yang berkaitan dengan sebarang bentuk perhimpunan di kawasan yang melibatkan keselamatan awam. Langkah ini adalah sebahagian daripada proses transformasi dan keterbukaan yang sedang dan akan terus dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
Dalam konteks ini, KDN juga sedang dan akan menambahbaik beberapa peruntukkan undang-undang sedia ada berdasarkan kepada pencapaian NKRA.
Antaranya, KDN berjaya melaksanakan program “Blue Ocean Strategy” bersama Jabatan Penjara Malaysia, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pengurusan penyelenggaraan kem- kem tentera, latihan asas polis dan tentera, rondaan bersama PDRM dan ATM, dan penyerapan pesara tentera ke perkhidmatan PDRM.
Dalam memelihara kepentingan dan kesejahteraan rakyat, KDN telah berjaya menyelesaikan kes-kes tertunggak sejak tahun 1986 yang melibatkan permohonan kewarganegaraan dan penduduk tetap.
Bagi program 6P pula, KDN telah berjaya mendaftar 2.3 juta pendatang asing, dalam mencapai matlamat pengurusan tenaga kerja asing di negara ini. Sistem biometrik yang dibangunkan juga telah berjaya mengesan dan menangkap warga asing yang terlibat dengan jenayah keganasan dan penyeludupan manusia.
Di samping itu, negara telah memeterai perjanjian dua (2) hala menangani jenayah rentas sempadan dengan Arab Saudi, United Kingdom dan Australia. Negara juga merancang untuk memeterai perjanjian yang sama dengan negara China menjelang akhir tahun ini.
Sebagai tambahan, KDN juga sedang membuat penambahbaikan terhadap undang-undang pencegahan sedia ada bagi menangani ancaman keganasan (terrorism) dan Jenayah Rentas Sempadan.
Dalam menggerakkan agenda transformasi ini, kita telah mencapai kejayaan mengurangkan jenayah khususnya jenayah jalanan. Sehingga bulan Julai 2011, kadar jenayah indeks telah menurun sebanyak 9.8 %, manakala kadar jenayah jalanan telah berkurangan sebanyak 40.3% berbanding pada tempoh masa yang sama tahun 2010.
Kejayaan ini tercapai hasil aktiviti rondaan bersama (omnipresence) yang melibatkan anggota PDRM dan Pasukan Sukarelawan JPAM dan RELA, memperluaskan pengawasan melalui community policing, Rukun Tetangga dan penempatan Balai Polis Bergerak.
Tamat/.


















13 September 2011
Kenyataan Media/Akhbar