web analytics

KENYATAAN MEDIA: Tan Sri KSU KDN

29 September 2011

Kenyataan Media/Akhbar

TAN SRI MAHMOOD ADAM

Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri

73 TANGKAPAN DAN 136 MANGSA JENAYAH PEMERDAGANGAN MANUSIA DISELAMATKAN ANTARA JANUARI HINGGA OGOS 2011

29 September 2011

1. Sejumlah 73 tangkapan daripada 53 kes telah dibuat menerusi aktiviti penguatkuasaan membabitkan jenayah pemerdagangan manusia sejak Januari hingga Ogos 2011 dan daripada jumlah tersebut, 136 mangsa diselamatkan dan kini di tempatkan di rumah perlindungan seluruh negara.

2. Berdasarkan statistik 53 kes tersebut, tafsiran Seksyen 2 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (ATIP) meletakkan 24 daripadanya sebagai jenayah eksploitasi seks, 19 (perkhidmatan paksa); tujuh (7) kes penjualan bayi dan tiga (3) adalah kesalahan eksploitasi visa di bawah Akta Imigresen 1963. 

3. Kes tangkapan paling tinggi direkodkan terhadap warga Malaysia iaitu 55 individu; diikuti Myanmar (10); Indonesia (4); China (2); dan Thailand serta India (masing-masing satu [1]).

4. Bagi 55 rakyat Malaysia yang terbabit dalam tangkapan ini, pecahan mengikut bangsa merekodkan Cina dengan statistik paling tinggi iaitu 30 orang, diikuti India (15); dan Melayu serta Iban (masing-masing lima [5]).

5. Tangkapan dibuat menerusi aktiviti penguatkuasaan yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

6. Sementara itu, statistik 136 mangsa yang kini ditempatkan di rumah perlindungan seluruh negara merekodkan 71 daripadanya adalah lelaki dewasa; 40 wanita dewasa; 15 kanak-kanak perempuan dan 10 kanak-kanak lelaki.

7. Selain itu, pecahan mengikut kewarganegaraan mencatatkan Myanmar dengan rekod paling tinggi iaitu 41 mangsa; diikuti Pakistan (38); Indonesia (27); India (10); Malaysia (8); Filipina (4); Thailand (3); Vietnam dan Kemboja (masing-masing dua [2]); dan China (satu [1]).

8. Statistik ini adalah sebahagian laporan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran yang diadakan pagi ini (Khamis, 29 September 2011) – dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan dihadiri lebih 14 wakil kementerian antaranya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Jabatan Peguam Negara serta agensi-agensi berkaitan.

9. Turut dibincangkan dalam mesyuarat ini ialah makluman oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengenai Arahan Amalan Bil 7/2011 berhubung Pendaftaran Kes Akta Pemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 di Mahkamah Sesyen yang memperkenalkan satu kod khas bagi kes-kes yang dikendalikan di bawah ATIP.

10. Pengenalan kod khas ini antara lainnya bertujuan memastikan tarikh perbicaraan kes-kes ATIP yang telah ditetapkan tidak ditunda dengan sewenang-wenangnya tetapi perlu dibicara dan diselesaikan dalam kadar segera.

11. Susulan perkara yang sama, satu surat juga telah dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kepada pegawai kehakiman seluruh negara membabitkan arahan supaya rakaman keterangan membabitkan kes-kes ATIP diselesaikan dalam tempoh tujuh (7) hari.

Tamat/.

, , ,