TAN SRI MAHMOOD ADAM
Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri
KDN BERSEDIA LAKSANAKAN TRANSFORMASI DIUMUMKAN YAB PERDANA MENTERI
16 SEPTEMBER 2011
1. Satu pertemuan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan Pejabat Peguam Negara akan diatur segera dalam tempoh terdekat bagi memperkemaskan segala aspek mengenai pindaan serta cadangan Rang Undang-undang Baru (RUU) yang telah dibincangkan sejak dua tahun lalu membabitkan lima akta yang diumumkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Malaysia malam kelmarin.
2. Perbincangan ini adalah susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam (16 September 2011) yang menyatakan komitmen bahawa RUU baru perlu dibentangkan pada sidang Parlimen dalam tempoh terdekat selepas kajian menyeluruh dan pandangan semua pihak diambil kira.
3. Dalam perbincangan itu nanti, KDN akan membantu Peguam Negara memperhalusi segala gerak kerja yang berkaitan bagi memastikan cadangan lengkap dan komprehensif dapat dibentangkan untuk pertimbangan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagaimanapun, berhubung bila ia akan dibentangkan kepada Parlimen, keputusan itu adalah tertakluk kepada hasil perbincangan KDN dengan Peguam Negara dan keputusan Kerajaan.
4. Antara lain yang akan dibincangkan ketika pertemuan dengan Peguam Negara, ialah butiran cadangan pemansuhan dan penggantian RUU Pencegahan di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan serta RUU Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA); selain cadangan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959.
5. Selain itu, perbincangan juga akan menyentuh perihal cadangan mekanisme penambahbaikan membabitkan aktiviti perhimpunan di tempat awam berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.
6. Akan turut sama dibincangkan ialah peranan pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang diasaskan pada 11 Januari 1972 di atas penguatkuasaan Akta (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1964. Antara lain, KDN akan mengusulkan kepada Peguam Negara senarai semakan untuk penelitian membabitkan perincian peruntukan undang-undang di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan peranan RELA terus kekal relevan dan digubal semula sebagai Akta Parlimen dan diletakkan sebagai Undang-undang di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
7. Pada masa sama, KDN juga akan mendapatkan pandangan Peguam Negara berhubung kajian pindaan membabitkan cadangan menghapuskan prinsip pembaharuan lesen cetak secara tahunan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan digantikan dengan pengeluaran permit penerbitan dan lesen cetak sehingga dibatalkan. Bagaimanapun, sehingga kajian itu selesai dan pengumuman mengenainya dibuat, segala prosedur permohonan dan kelulusan lesen dan permit akan kekal sebagaimana proses sedia ada.
8. Berhubung isu media, selari dengan hasrat Kerajaan untuk mengamalkan dasar lebih telus dan terbuka, KDN akan meneruskan pelbagai langkah proaktif untuk menyokong pertumbuhan sihat aktiviti media di Negara ini.
9. Antaranya ialah inisiatif menubuhkan satu jawatankuasa khas di kalangan pengamal media utama yang telah diadakan pada 15 September 2011 bagi berfungsi sebagai sebuah forum yang bertanggungjawab menentukan sendiri (self regulation) hala tuju amalan media di kalangan mereka.
10. Dalam perkembangan lain, pelbagai langkah yang telah dan sedang diambil KDN dalam menangani ancaman keselamatan Negara akan terus diperkasakan selari dengan transformasi politik yang sedang dilaksanakan kerajaan.
11. Ini antaranya termasuklah meneruskan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau singkatannya 6P yang telah bermula 1 Ogos 2011 dan dijangka selesai menjelang awal 2012.
12. Selain itu, KDN juga akan mengambil langkah-langkah berterusan membabitkan pelbagai komitmen dan persetujuan bagi tindakan susulan yang telah dicapai dalam beberapa perjanjian kerjasama dengan rakan-rakan strategik antarabangsa dalam usaha menangani jenayah rentas sempadan, antaranya Arab Saudi, Australia, United Kingdom dan menyusul ialah negara China pada hujung tahun ini.
13. Antara usaha penting KDN dalam menangani ancaman keselamatan ini juga ialah komitmen menubuhkan Akademi Jenayah Rentas Sempadan Malaysia yang kelak akan berfungsi sebagai pusat aktiviti kerjasama serantau dan antarabangsa membabitkan isu-isu jenayah yang berkaitan.
Tamat/.


















16 September 2011
Kenyataan Media/Akhbar