Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Prosedur Pengambilan Pekerja Asing Semasa Proses Pemutihan, Proses Penguatkuasaan (Pasca Pendaftaran) Program 6P dan Pelajar Asing Terlibat Jenayah
Putrajaya, 31 Oktober 2011
Saya ingin memaklumkan bahawa sehingga 30 Oktober 2011, seramai 27,514 PATI telah diputihkan (didaftarkan secara sah) di bawah Proses Pemutihan Program 6P yang melibatkan 2,208 majikan di seluruh negara. Selain memberi ruang kepada para majikan untuk memutihkan pekerja asing sedia ada mereka, sepanjang tempoh Proses Pemutihan ini yang telah bermula pada 10 Oktober 2011, majikan yang mempunyai keperluan mendesak untuk mendapatkan pekerja asing boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pekerja asing di kalangan PATI tidak bermajikan yang telah berdaftar ketika Proses Pendaftaran yang berakhir pada 31 Ogos lalu.
Berhubung perkara ini, para majikan boleh mendapatkan senarai PATI tersebut melalui data yang dipaparkan dalam laman web rasmi KDN iaitu http://www.moha.gov.my. Dalam laman ini dipaparkan prosedur lengkap bagi memudahkan majikan untuk membuat permohonan mendapatkan pekerja asing tersebut (seperti di lampiran).
Pada masa yang sama, sepanjang tempoh proses pemutihan ini juga, kerajaan telah memutuskan untuk dilaksanakan serentak Proses Pengampunan yang melibatkan dua kategori iaitu:
- PATI yang telah menyertai Proses Pendaftaran dan ingin terus keluar meninggalkan negara,
- PATI yang menyerah diri secara sukarela.
Bagi proses ini, PATI yang berkenaan boleh terus berurusan dengan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan Memo Periksa Keluar tanpa dikenakan sebarang tindakan. Pengumuman lanjut berhubung jumlah mereka yang telah keluar dan jumlah penjimatan perbelanjaaan kerajaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah memulakan Proses Penguatkuasaan (Pasca Pendaftaran) di bawah Program 6P, bermula 20 Oktober lalu. Operasi penguatkuasaan ini memberi fokus terhadap majikan dan PATI yang tidak keluar mendaftar sepanjang tempoh Proses Pendaftaran sebelum ini. Proses Penguatkuasaan (pasca pendaftaran) ini akan berlangsung sepanjang Proses Pemutihan dan kemudiannya akan disusuli dengan Proses Penguatkuasaan (Pasca Pemutihan) yang akan digerakkan dalam skala yang lebih besar dan menyeluruh.
Operasi penguatkuasaan ini dimulakan lebih awal daripada perancangan asal atas keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan PATI (JKKPA-PATI) pada 5 Oktober lalu yang memutuskan bahawa tindakan tegas serta-merta perlu diambil terhadap majikan dan PATI tegar yang tidak menyertai Proses Pendaftaran. Dalam operasi penguatkuasaan awal yang dijalankan pada 20 hingga 28 Oktober lalu di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor, seramai 193 PATI telah ditahan. Mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen pendaftaran yang dikeluarkan semasa Proses Pendaftaran. Sementara itu, lima majikan turut dikenakan tindakan atas kesalahan yang sama.
Berhubung perkara ini, saya menyeru orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan, pertanyaan atau ingin menyalurkan maklumat mengenai PATI dan majikan yang ingkar, di kawasan masing-masing agar menghubungi talian hotline 03-88801555 atau 03-88801556, yang disediakan oleh pihak Jabatan Imigresen, untuk kemudahan orang ramai. Kerjasama dan maklumat daripada orang ramai amat dialu-alukan untuk membantu pelaksanaan gerak kerja penguatkuasaan. Pada masa yang sama, saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen untuk menubuhkan satu unit khas bagi memulakan fokus gerak kerja berkaitan isu warga asing kepada:
i. negeri Sabah dan Sarawak,
ii. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
iii. isu pelarian,
iv. pelajar asing.
Operasi penguatkuasaan kali ini akan dimantapkan dengan penggunaan peralatan dan teknologi termasuk Sistem Penguatkuasaan dan Pendaftaran Nasional (NERS) yang akan diperkenalkan buat kali pertama. Sistem NERS akan membolehkan status warga asing disemak dalam masa nyata (real time) di lapangan melalui teknologi Nexcode. Di antara maklumat yang boleh diakses oleh pegawai penguatkuasaan di lapangan adalah profil warga asing, majikan, gambar, status keberadaan semasa termasuk tempoh sah laku pas dan permit, lokasi tempat tinggal dan tempat bekerja. Sistem ini akan dapat mengelakkan isu pemalsuan dokumen dan identiti. Bagi warga asing yang tidak membawa dokumen pula, status mereka akan tetap dapat disemak serta merta melalui data biometrik.
Sementara itu, berhubung isu penyalahgunaan pas pelajar asing untuk melakukan kegiatan jenayah di negara ini khususnya di kalangan pelajar –pelajar dari negara Afrika, saya ingin memaklumkan bahawa pihak KDN sedang memantau isu ini secara dekat. Pemantauan ini juga turut melibatkan semua Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/IPTS), Institut Pengajian Swasta (IPS), dan insitusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran yang mengambil pelajar asing.
Selain itu, pihak KDN juga melalui mesyuarat berkala bersama wakil IPTA/IPTS/IPS, , akan membincangkan isu-isu dan laporan berkala berkaitan pelajar asing ini secara lebih terperinci termasuk dari segi penguatkuasaan dan kawal selia terhadap mereka. Mesyuarat berkala ini turut melibatkan penyertaan daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Luar Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pihak Jabatan Imigresen telah mengenal pasti beberapa isu berbangkit berkaitan proses pengambilan, pengurusan dan pemantauan pelajar asing dan akan dibawa untuk perbincangan dalam mesyuarat yang melibatkan semua kementerian berkaitan pada minggu ini bagi mencari pendekatan terbaik untuk menangani setiap satu daripada isu berkenaan.
Tindakan akan diambil terhadap mereka yang didapati menyalahgunakan pas pelajar ini untuk melakukan kegiatan jenayah. Selain itu, kita juga akan menilai keistimewaan yang diberikan kepada para pelajar asing yang menuntut di negara ini demi memastikan ia tidak disalah gunakan. Antara keistimewaan tersebut ialah kebenaran untuk mereka bekerja separuh masa pada waktu tertentu termasuk cuti semester khususnya di restoran, stesen minyak, hotel, pasar mini dan kawasan institusi pengajian. Kita risau kesempatan ini digunakan mereka untuk melakukan aktiviti jenayah atau salahlaku sosial lain.
Berdasarkan statistik, dari Januari hingga September tahun ini, pihak kerajaan telah meluluskan sebanyak 76,472 pas pelajar. Daripada jumlah ini, sebanyak 18,626 pas pelajar dikeluarkan untuk 5 negara utama Afrika iaitu Nigeria, Sudan, Somalia, Bostwana dan Libyan Arab.
=tamat=


















31 October 2011
Kenyataan Media/Akhbar