web analytics

Kenyataan Media Tan Sri Mahmood Adam

5 October 2011

Kenyataan Media/Akhbar

 

YBHG. TAN SRI MAHMOOD ADAM
KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI

mengenai

PEMANSUHAN AKTA KEDIAMAN TERHAD 1933 SELARI HASRAT MENTERI DALAM NEGERI SEJAK DUA TAHUN LALU

6 OKTOBER 2011

1. Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik pembentangan pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933 yang dibentangkan Kerajaan pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen semalam (5 Oktober 2011).

2. Pemansuhan akta tersebut adalah kesinambungan terhadap keputusan YB Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein pada tahun 2009 yang mengarahkan agar kajian dilakukan terhadap rang undang-undang yang digunapakai di peringkat Kementerian ini. 

3. Justeru, keputusan pemansuhan ini sejajar dengan penemuan kajian tersebut yang mendapati bahawa Akta Kediaman Terhad 1933 tidak lagi sesuai dan relevan di dalam landskap keselamatan dan ketenteraman awam semasa Negara, kesan perubahan zaman dan perkembangan teknologi terkini.

4. Situasi dunia tanpa sempadan hari ini telah menghapuskan sekatan fizikal, sekali gus menyebabkan komunikasi antara individu yang dikenakan sekatan dengan rakan-rakan jenayah mereka masih boleh berlaku menerusi pelbagai kaedah telekomunikasi terkini.

5. Berikutan itu, KDN menyokong penuh bahawa memang sudah waktunya untuk akta yang diluluskan pada 1933 ini dimansuhkan dan digantikan pendekatan baru yang lebih sesuai dan efektif berdasarkan situasi dunia hari ini.

6. Susulan daripada pembentangan pemansuhan akta itu juga, pelbagai tindakan sedang dibuat untuk memperkasakan semua Bahagian, Agensi serta Unit yang berkaitan.

7. Pada masa yang sama, KDN juga sedang mengambil segala langkah yang perlu sebagai persediaan kepada pelaksanaan Rang Undang-undang Baru menggantikan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969; serta Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) apabila kedua-duanya dibentangkan untuk pemansuhan kelak.

#####

Disediakan : Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
Aras 9, Blok D1, Kompleks D
Putrajaya

No. Telefon : 03 – 8886 8000

, , ,