web analytics

KENYATAAN MEDIA YBHG. TAN SRI MAHMOOD ADAM

30 October 2011

Kenyataan Media/Akhbar

 KENYATAAN MEDIA 

YBHG. TAN SRI MAHMOOD ADAM
KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI

 mengenai

 KDN SEDANG LAKSANAKAN PENAMBAHBAIKAN SUSULAN
LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2010

28 OKTOBER (JUMAAT)

1.    Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2010 dan akan mengambil tindakan susulan jika didapati wujud salah laku, kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab membabitkan aspek pengurusan kewangannya.

2.    Pada masa sama, pelbagai inisiatif penambahbaikan juga telah dan sedang giat dilaksanakan, selari dengan sasaran KDN untuk mencapai penarafan empat bintang menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2011.

3.    Ini berikutan penarafan tiga bintang kepada KDN menerusi Laporan Audit Tahun 2010 yang dibentangkan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat pada Isnin       (24 Oktober 2011).

4.    Bagi mencapai matlamat tersebut, pelbagai langkah proaktif telah diambil KDN dan ini termasuklah mengenal pasti punca kementerian ini diberikan pencapaian tiga bintang bagi laporan audit 2010. Berpandukan maklumat ini, pelbagai strategi diatur bagi menambah baik sistem yang sedia ada dan pada masa sama menaikkan penarafan keseluruhan.

5.    Antara inisiatif yang diambil ialah melakukan audit susulan terhadap proses pengauditan kewangan pada bulan hadapan (November 2011), selain sesi khas dengan semua bahagian serta agensi di bawah KDN yang dikenal pasti mempunyai kelemahan dalam pengurusan kewangannya bagi mengenal pasti masalah dan menyediakan panduan serta tunjuk ajar penyelesaian.

6.    Di samping itu, sistem S3PK yang membabitkan pengurusan, pemantauan dan penilaian pengurusan kewangan kementerian juga telah dibangunkan secara atas talian (online) dan segala usaha sedang dibuat bagi menggalakkan penggunaannya di kalangan agensi dan pusat tanggungjawab. Penggunaan secara menyeluruh dan panduan yang diberi dari semasa ke semasa akan menyumbang kepada peningkatan penarafan audit.

7.    Pada masa sama, Jawatankuasa Audit KDN turut diperkasa dan bilangan mesyuarat yang bertujuan memantau aktiviti keseluruhan pengurusan kewangan kementerian ditambah dan diadakan setiap bulan bermula Januari 2011, berbanding peraturan yang ditetapkan iaitu hanya empat (4) kali setahun.

8.    Susulan daripada mesyuarat ini, fokus audit dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada aspek tertentu dalam pengurusan kewangan kementerian serta agensi berkaitan. Jika ada kelemahan dikenal pasti, sesi khas bagi tujuan penambahbaikan dan panduan tunjuk ajar akan segera dilaksanakan.

9.    Sehingga Oktober 2011, tiga (3) sesi dialog antara Ketua Setiausaha (KSU) KDN sebagai Pegawai Pengawal dengan lebih 300 wakil pusat tanggungjawab seluruh negara juga telah diadakan untuk menyampaikan taklimat pengurusan kewangan selain mengumpul maklum balas peserta bagi tujuan penambahbaikan.

10. Amalan ini juga diperincikan melalui sesi khas KSU sebagai Pegawai Pengawal dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang diadakan setiap minggu bagi merancang, memantau dan menilai prestasi operasi serta kewangan setiap agensi berkenaan. Sesi dengan PDRM telah lama dimulakan manakala bagi JIM, AADK dan RELA, perlaksanaannya dibuat bermula Januari 2011.

11. Selain itu, berdasarkan post mortem yang dibuat hasil Laporan Audit Negara 2010, KDN juga mengambil inisiatif melantik pegawai khusus di setiap Bahagian dan agensi di bawahnya bagi mengendalikan urusan dan hal ehwal membabitkan proses kerja Jabatan Audit Negara.

12. Justeru, dengan mengambil kira semua inisiatif tersebut, KDN yakin bahawa penarafan empat bintang menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2011 boleh dicapai kementerian ini dan segala usaha merealisasikannya akan dilaksanakan penuh komited oleh semua warga KDN.

#####

Disediakan                    :
Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
Aras 9, Blok D1, Kompleks D
Putrajaya

No. Telefon                   :           03 – 8886 8000

,