web analytics

KENYATAAN MEDIA: YBHG. TAN SRI MAHMOOD ADAM

14 October 2011

Kenyataan Media/Akhbar

KENYATAAN MEDIA

 YBHG. TAN SRI MAHMOOD ADAM
KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI

mengenai

LEBIH 4 JUTA ANGGOTA PENGUATKUASA AKAN DIGERAKKAN UNTUK OPERASI PROGRAM 6P

 14 OKTOBER (JUMAAT)

 Lebih 4,000,000 (empat juta) anggota penguatkuasa akan digerakkan secara bersepadu di seluruh Negara ketika operasi besar-besaran membabitkan lokasi darat, laut, dan sempadan daratan dilaksanakan terhadap majikan serta pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingkar terhadap Program 6P.

Operasi ini bakal diketuai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai agensi peneraju dan disokong pelbagai agensi lain termasuklah hampir 3,000,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), 125,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 110,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Agensi Penguatkuasa Pelaksanaan Program 6P anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kali pertama diadakan di Putrajaya di sini, semalam (13 Oktober 2011) dengan dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN.

Hadir dalam mesyuarat ini ialah wakil dari Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Majlis Keselamatan Negara (MKN); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); Unit Pencegah Penyeludupan (UPP); Jabatan Tenaga Kerja (JTK); Jabatan Depot (JPD); ATM; PDRM; JIM dan RELA.

Mesyuarat ini antara lainnya membincangkan pendekatan serta kaedah penguatkuasaan yang akan digunakan ketika arahan operasi dikeluarkan sebaik tarikhnya diputuskan oleh Kerajaan, selaras dengan pelaksanaan fasa kedua Program 6P iaitu Proses Pemutihan yang bermula sejak Isnin lalu (10 Oktober 2011).

Selain RELA, PDRM dan ATM, akan turut bertindak sebagai agensi sokongan operasi Program 6P ini ialah KPDNKK; KPKT; JPD; JTK; MKN; UPP; APMM; Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM); Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK).

Bagi lokasi darat, operasinya akan membabitkan PDRM, RELA, ATM, JTK, JPD, PBT, KPTK, KPDNKK, JPAM, AADK dan JKKK, manakala operasi di laut diletakkan di bawah tanggungjawab JKDM, TLDM, Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan. Sementara itu, operasi di sempadan darat pula akan membitkan MKN, PDRM, JIM, UPP, JKDM, JTK, RELA, JPD serta Polis Sempadan di bawah KDN.

Bagaimanapun, operasi penguatkuasaan ini hanya akan dilaksanakan oleh agensi yang mempunyai kuasa di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, ATIP (Pindaan) 2010, manakala agensi yang tidak tertakluk di bawah akta tersebut hanya boleh menjalankan operasi penguatkuasaan dengan disertai anggota JIM sebagai peneraju.

Sementara itu, sebagai agensi peneraju, JIM antara lainnya bertanggungjawab merancang dan menyediakan pelan strategik operasi penguatkuasaan, menyelaras tindakan di peringkat negeri dan melaporkan statistik harian penguatkuasaan kepada Jawatankuasa Pelaksana Program 6P di KDN.

Berdasarkan prosedur operasi kerja yang dicadangkan KDN, majikan serta PATI yang tidak berdaftar dengan Program 6P (Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin) akan diberi satu tempoh khusus bagi tampil menyerah diri di mana-mana pejabat JIM seluruh negara.

Tindakan menyerah diri ini akan mengecualikan mereka daripada hukuman undang-undang, tetapi pada masa masa, kedua-dua pihak (majikan serta PATI) akan terikat dengan peraturan untuk menghantar pulang PATI ke negara asal mereka dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

Selaras dengan itu, kerajaan akan mengumumkan tarikh akhir bagi proses menyerah diri dan selepas tamat tempoh tersebut, operasi penguatkuasaan besar-besaran akan dilaksanakan bagi menahan majikan serta PATI yang ingkar terhadap semua arahan di bawah pelaksanaan Program 6P, iaitu mendaftar bagi tujuan rekod biometrik atau menyerah diri selepas gagal melaksanakan pendaftaran.

 

#####

 

Disediakan                    :           Bahagian Komunikasi Korporat

Kementerian Dalam Negeri

Aras 9, Blok D1, Kompleks D

Putrajaya

No. Telefon                   :           03 – 8886 8000

 

, , , , , , , , , , , , , , , ,