YBHG. TAN SRI MAHMOOD ADAM
KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI
mengenai
KDN TIADA UNIT PERISIKAN
14 OKTOBER (JUMAAT)
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan wujud Unit Risikan Khas Bahagian Keselamatan Negara di kementerian ini yang memberi kuasa kepada anggotanya untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan atau kutipan wang daripada mana-mana pihak.
Hal ini adalah susulan tangkapan yang dibuat oleh pihak polis baru-baru ini berhubung dua individu yang didapati menyamar sebagai penjawat awam dengan memperkenalkan diri mereka sebagai anggota Unit Risikan Khas dari Bahagian Keselamatan Negara, KDN.
Kedua-duanya ditahan apabila memperkenalkan diri sebagai Penolong Pegawai Risikan, Ibu Pejabat Risikan Khas, KDN Putrajaya, sedangkan unit serta bahagian yang dinyatakan tidak wujud apabila dirujuk oleh pihak polis kepada KDN untuk tujuan pengesahan.
Ketika diminta memperkenalkan diri, kedua-dua mereka menunjukkan kad kuasa Unit Risikan Khas yang lengkap disertakan nombor kad pengenalan yang bertandatangan “Ketua Pengarah Unit Risikan KDN” yang juga tidak wujud jawatan seumpamanya di KDN .
Pada kad tersebut, tertera maklumat yang menyatakan bahawa pembawa kad adalah anggota unit berkenaan yang ditugaskan membuat risikan serta tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang serta kuasa-kuasa KDN. Selain itu, pembawa juga dibenarkan berpakaian biasa dan mempunyai kuasa untuk masuk ke mana-mana premis atau jabatan kerajaan bagi tujuan penyamaran.
Turut tertera pada kad tersebut ialah pembawa mempunyai kebenaran untuk membawa serta menggunakan senjata api di bawah peraturan yang ditetapkan KDN.
Kedua-dua kes ini sedang dalam siasatan polis dan KDN dengan ini memberi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak cuba mengambil pendekatan serupa kerana mereka boleh didakwa dan dikenakan hukuman berat di bawah Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
Pada masa sama, KDN juga menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang tampil memperkenalkan diri menggunakan kad kuasa kementerian bagi tujuan tindakan tertentu.
Ini kerana KDN tidak pernah mengeluarkan sebarang kad kuasa melainkan kad pengesahan kakitangan kementerian yang ditandatangani Ketua Setiausaha KDN yang sekadar menyertakan maklumat gambar pembawa, nama, nombor kad pengenalan dan jawatan serta bahagian masing-masing.
Sehubungan itu, orang ramai diminta tampil membuat laporan polis jika mempunyai maklumat mengenai tindakan mana-mana individu yang menyamar menggunakan pengenalan kad kuasa KDN.
#####
Disediakan:
Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
Aras 9, Blok D1, Kompleks D
Putrajaya
No. Telefon : 03 – 8886 8000


















14 October 2011
Kenyataan Media/Akhbar