web analytics

Taklimat Kepada Persatuan Majikan: Kaedah Pelaksanaan Penguatkuasaan di Bawah Program 6P

18 October 2011

KDN Sana Sini

Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan satu sesi taklimat yang  telah dipengerusikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Mahmood bin Adam, Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri di Dewan Gemilang pada 17 Oktober 2011 (Isnin). Taklimat ini diadakan bagi menerangkan kepada para wakil persatuan-persatuan majikan mengenai kaedah pelaksanaan penguatkuasaan di bawah Program 6P.

 

 Sesi dimulakan dengan taklimat daripada Dato’ Zaiton Abd. Samad, Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, dimana beliau telah menerangkan tentang ringkasan pelaksanaan program 6P kepada para hadirin. Dato’ Zaiton menyatakan bahawa sebanyak 94% PATI berdaftar adalah dari sektor perkilangan, menjadikan sektor ini sebagai sektor paling aktif dengan kadar pendaftaran PATI tertinggi.

Taklimat seterusnya disampaikan oleh Encik Rohani Salleh Setiausaha Bahagian daripada Bahagian Pengurusan Pekerja Asing. Beliau menyatakan bahawa PATI dari negara-negara sumber dan negara yang mendapat kelulusan khas seperti Bangladesh akan diputihkan dan dibenarkan bekerja. Semua sektor dan sub-sektor yang telah dibekukan akan kekal beku. Tempoh penggajian PATI yang diputihkan adalah selama tiga(3) tahun dan akan dihantar pulang ke negara masing-masing setelah tamat tempoh yang penggajian tersebut. Proses pemutihan telahpun bermula pada 10 Oktober 2011 dan akan berakhir pada 31 oktober 2011.

Sesi diteruskan dengan taklimat dari Dato’ Alias Hj Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen. Beliau menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan enam (6) kategori PATI dan lima (5) kategori majikan/individu yang menjadi sasaran dalam proses penguatkuasaan ini. Selain itu, Dato’ Alias turut menerangkan kaedah penguatkuasaan terhadap PATI dan juga majikan kepada para hadirin pada malam itu.

Sesi taklimat pada malam itu diakhiri dengan sesi dialog bersama Y. Bhg. Tan Sri Mahmood Bin Adam. Wakil-wakil persatuan majikan telah diberi peluang untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan dengan program 6P.

, ,