Kementerian Dalam Negeri di bawah kelolaan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (KF) telah mengadakan Perbincangan Meja Bulat Bersama Pengedar Filem/Pita bertujuan memperincikan lagi penambahbaikan proses permohonan penapisan filem. Majlis yang diadakan pada 24 Oktober 2011 di Dewan Gemilang ini turut dihadiri oleh wakil dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Sesi dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Pengerusi Lembaga Penapisan Filem, YBhg. Datuk Raja Azahar bin Raja Abdul Manap yang antaranya memaklumkan tujuan proses penambahbaikan ini adalah selaras dengan Piagam Pelanggan KF yang antaranya menekankan proses penapisan dan pengeluaran keputusan tapisan filem sinematografi dalam tempoh lima hari bekerja dari tarikh permohonan.
Taklimat diteruskan dengan pembentangan “Penambahbaikan Proses Permohonan Penapisan Filem” oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), Encik Samat Bin Yahya. Dalam pembentangan tersebut, beliau telah menerangkan dengan lebih mendalam setiap kriteria yang telah ditetapkan oleh LPF dalam usaha melancarkan proses ini. Selain itu juga, beliau turut memberikan penerangan berkaitan Akta 620, Akta Penapisan Filem 2002.
Taklimat ini diakhiri dengan sesi soal jawab bersama Lembaga Penapisan Filem yang memberikan peluang kepada wakil-wakil pengedar dan pengimport filem untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan selain mengutarakan pendapat dalam usaha penambahbaikan tersebut.






















24 October 2011
KDN Sana Sini