web analytics

SAMBUTAN HARI INOVASI KEMENTERIAN DALAM NEGERI DAN PERHIMPUNAN BULANAN KDN

22 November 2011

KDN Sana Sini

PUTRAJAYA, 21 November 2011 – Y.B. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2011 yang diadakan di Auditorium Aras 5, Blok D8, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sambutan Hari Inovasi pada tahun ini yang bertemakan “Inovasi Pemangkin kepada Transformasi” adalah bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua pihak atas penghasilan inovasi yang memberi impak yang besar kepada KDN dan juga rakyat.

Bersempena sambutan tersebut, Pameran Inovasi KDN 2011 juga telah turut diadakan bermula jam 8.30 pagi hingga 1 tengahari.  Orang ramai turut hadir untuk sama-sama berkongsi pelbagai inovasi dan pencapaian agensi-agensi KDN dalam proses menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan, selaras dengan agenda nasional negara iaitu Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Pada sambutan tahun ini, 23 penyertaan bagi Pertandingan Anugerah Inovasi KDN telah diterima daripada pelbagai Agensi dan Bahagian di bawah KDN. Di antaranya termasuklah Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia dan Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat KDN.  

Sebagai mengiktiraf pencapaian Agensi dan Bahagian dalam KDN, anugerah Kumpulan Inovatif & Kreatif dan Anugerah Khas Inovasi juga diumumkan.  Sejumlah 16 penyertaan diterima bagi pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif manakala Anugerah Khas pula diberi berdasarkan hasil inovasi yang dilaksanakan pada peringkat Jabatan, Agensi dan Bahagian.  Y.B Menteri Dalam Negeri telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.  

Pada sambutan yang sama, buku “7 Komitmen Utama KDN” hasil terbitan KDN turut dilancarkan Menteri Dalam Negeri.  Buku yang memuatkan 21 artikel terpilih mengenai inovasi dan penambahbaikan yang telah dilakukan Agensi dan Bahagian dalam KDN. Ini adalah bagi menyahut pengumuman Y.B. Menteri Dalam Negeri mengenai Tujuh Komitmen Utama yang digariskan beliau pada awal tahun 2011.