Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Status Proses Pengampunan di bawah Program 6P
Putrajaya, 01 November 2011
Saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah memutuskan bahawa Proses Pengampunan dan Proses Pemutihan di bawah Program 6P dijalankan serentak agar pekerja asing tanpa izin (PATI) ingin kembali ke negara asal dapat meninggalkan negara ini pada kadar segera. Proses Pengampunan ini melibatkan dua kategori iaitu:
- PATI yang telah menyertai Proses Pendaftaran dan ingin terus keluar meninggalkan negara,
- PATI yang menyerah diri secara sukarela.
Dalam proses ini PATI yang berkenaan boleh terus berurusan dengan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan Memo Periksa Keluar tanpa dikenakan sebarang tindakan. Sehingga semalam (Isnin, 31 Oktober 2011), sejumlah 25,561 PATI telah diampun dan keluar dari negara ini di bawah Proses Pengampunan Program 6P.
Daripada jumlah itu, antara lima negara yang mencatatkan jumlah tertinggi PATI yang telah diampunkan dan keluar meninggalkan negara ialah melibatkan warga negara Indonesia dengan 15,901 orang; diikuti India (2,501); Nepal (1,048); Myanmar (1,040); dan Vietnam (930).
PATI yang diampun ini telah disaring bersih daripada sebarang rekod kesalahan jenayah dan mereka dibenarkan pulang dengan segala kos berkaitan ditanggung sepenuhnya oleh setiap PATI berkenaan. Kerajaan sehingga kini tidak terbabit dalam mengeluarkan sebarang peruntukan bagi membiayai kos berkaitan termasuklah makan minum atau penginapan sementara.
Melalui Program 6P ini, pihak kerajaan berjaya melakukan penjimatan perbelanjaan secara kasar sebanyak hampir RM3.3 bilion dalam menguruskan seramai 1,303,126 PATI yang berdaftar ketika Proses Pendaftaran yang berakhir 31 Ogos lalu. Penjimatan ini termasuk dari segi makan minum mereka di depoh tahanan serta kos pengusiran ke negara asal sama ada melalui jalan darat, laut atau udara. Ini kerana semua kos tersebut ditanggung oleh PATI itu sendiri.
Sebaliknya, pada masa yang sama, pihak kerajaan berjaya menambah kutipan hasil daripada bayaran levi, pas dan visa yang dikenakan ke atas pekerja asing yang diputihkan melalui Proses Pemutihan. Sehingga 30 Oktober lalu, seramai 27,514 PATI telah diputihkan atau didaftarkan secara sah di bawah Proses Pemutihan Program 6P yang melibatkan 2,208 majikan di seluruh negara.
=tamat=


















1 November 2011
Kenyataan Media/Akhbar