web analytics

KENYATAAN MEDIA – Tindakan Bersepadu Menangani Isu-Isu Pelajar Antarabangsa 25 November 2011(Jumaat)

29 November 2011

Kenyataan Media/Akhbar

Kerajaan telah menubuhkan satu Sub Unit Khas Pas Pelajar pada 31 Oktober 2011 sebagai satu tindakan bersepadu di antara agensi untuk menangani isu-isu pelajar antarabangsa. Unit khas ini terdiri daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sebagai agensi kawal selia bagi Pusat Bertauliah, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai agensi kawal selia bagi Institusi Pengajian Tinggi (IPTA/IPTS) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebagai agensi kawal selia bagi Institusi Pengajian Swasta, Pusat Bahasa dan Sekolah Antarabangsa.

Setakat ini, Unit Khas Pas Pelajar telah bermesyuarat sebanyak dua kali iaitu pada 3 dan 9 November 2011 dan telah mengenalpasti beberapa tindakan serta inisiatif yang akan diambil bagi menangani isu-isu pelajar antarabangsa di negara ini. Antara inisiatif tersebut adalah :

1)    Menubuhkan satu Kumpulan Kerja Pemantauan Pelajar Antarabangsa (KKPPA) yang akan diurusetiakan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk memantau isu-isu pelajar antarabangsa. KKPPA ini akan bersidang setiap bulan untuk membincangkan status dan isu-isu pelajar antarabangsa, mengenalpasti tindakan penambahbaikan dan penyelesaian isu berbangkit serta mengggariskan tindakan bagi mengawal dan membendung penyalahgunaan pas oleh pelajar-pelajar antarabangsa.

2)    Mengumpul statistik dan laporan berkaitan pelajar antarabangsa seperti jumlah pelajar antarabangsa yang diluluskan, jumlah institusi yang terlibat, jenis-jenis kursus dan jangka masa, jumlah pelajar yang terlibat di dalam kegiatan negatif (bilangan tangkapan, bilangan yang dikenakan tindakan undang-undang dan disabitkan kesalahan) dan jumlah pelajar yang disenaraihitamkan.

3)    Mengendalikan lawatan naziran secara bersepadu dan berkala yang melibatkan JIM, PDRM, KPT, KPM, JPK dan KDN bagi memastikan setiap institusi mematuhi semua akta dan peraturan yang berkaitan serta tidak menyalahgunakan kelulusan pengambilan pelajar antarabangsa.

4)    Menyelaraskan Standard Operation Procedure (SOP) di antara KDN, KPT, KPM, JIM dan JPK bagi memastikan tiada pertindihan bidang tugas dan memastikan kerjasama di antara agensi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Bengkel Penyelarasan SOP Pengambilan Pelajar Antarabangsa telah diadakan pada 23 November 2011 yang diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri.

 5)    Mengintegrasikan sistem yang digunapakai oleh agensi kawal selia iaitu KPT, KPM dan JPK dengan sistem  yang digunapakai oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Perlaksanaan pengambilan pelajar asing merupakan tanggungjawab bersama agensi kawal selia iaitu Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri. Kerjasama dari pihak yang memproses dan memperakukan permohonan dengan pihak yang memberikan kelulusan akan dimantapkan untuk memastikan hanya permohonan yang layak sahaja diperakukan dan diluluskan. Kementerian dan agensi yang terlibat akan memastikan wujudnya kerjasama dan perkongsian maklumat yang mantap di antara agensi-agensi supaya pelaksanaan pengambilan pelajar antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

 

Disediakan :

Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
Aras 9, Blok D1, Kompleks D, Putrajaya

No. Telefon  :  03 – 8886 8000

, , , , , ,