Majlis ini diadakan berikutan kejayaan dalam program kerjasama rintis antara Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Negeri Kelantan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menguatkuasakan undang-undang ketirisan subsidi minyak pada 1 Jun lalu, maka pada hari ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan KPDNKK telah bersetuju untuk memperkukuhkan usaha ini dengan menandatangani kerjasama berhubung pemantauan aktiviti penyeludupan minyak diesel dan minyak petrol RON 95 bersubsidi. Hasil kejayaan kerjasama rintis di Kelantan, maka pada 1 November lalu, penugasan anggota RELA di stesen-stesen minyak ini telah diperluaskan ke negeri Perlis melibatkan 4 buah stesen minyak dan 16 anggota setiap hari, di Kedah melibatkan 11 stesen dan 44 anggota dan di Perak melibatkan 2 stesen dan 8 anggota. Keseluruhannya sebanyak 45 stesen minyak dan 290 anggota bertugas setiap hari. Inisiatif ini dirancang untuk diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada bulan depan. Usaha yang diambil ini adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memastikan subsidi yang diberi ke atas minyak diesel dan minyak petrol RON95 tidak disalahgunakan untuk manfaat rakyat asing atau pihak tertentu demi mengaut keuntungan.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh YB Menteri KPDNKK, beliau amat berterima kasih kepada anggota RELA dan KDN atas kerjasama ini. Beliau mengakui walaupun kerjasama antara Agensi lain seperti PDRM dan UPP telah lama diwujudkan tetapi berikutan fungsi PDRM dan UPP yang lebih perlu memberi perhatian terhadap tugas-tugas yang lebih penting membuatkan KPDNKK perlu memikirkan inisiatif lain untuk membantu penguatkuasaan bagi pemantauan aktiviti penyeludupan minyak RON95 ini.

YB Menteri Dalam Negeri pula melahirkan rasa bangga dan kagum terhadap semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh anggota RELA di dalam ucapannya. Beliau berharap kerjasama yang diadakan dapat diteruskan dan berharap skop tugas anggota RELA dapat diperluaskan lagi sesuai dengan cabaran masa kini.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran anggota-anggota RELA, warga KPDNKK dan Pengurusan Tertinggi Ibu Pejabat RELA. Majlis juga diserikan dengan penyampaian saguhati dan sumbangan kepada anggota RELA dan berakhir dengan sidang media dan jamuan makan tengah hari.






















15 November 2011
KDN Sana Sini