
Sambutan Hari Penjara Malaysia ke 162 disempurnakan perasmiannya oleh YB Datuk Wira Abu Seman Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 3 November 2011 bertempat di Dataran Maktab Penjara Kajang. Bertemakan Bersatu Menjayakan Transformasi memperlihatkan usaha-usaha kemasyarakatan yang dizahirkan oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara untuk sama-sama melancarkan momentum transformasi kerajaan.

Dalam ucapan YB Datuk Wira Abu Seman Yusof menyeru pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara seluruh Malaysia meningkatkan ilmu pengetahuan yang sedia ada seiring dengan suasana masa kini yang dilengkapi dengan kemudahan dan kelengkapan yang serba moden. Katanya kerajaan sentiasa berusaha untuk menaik taraf kemudahan di institusi penjara secara berperingkat-peringkat dan cara bekerja tidak boleh lagi ditakuk lama. Warga Jabatan Penjara perlu mengubah budaya kerja selari dengan peningkatan taraf kemudahan fizikal di penjara seluruh negara.

Menyingkap sejarah lampau, penjara adalah satu tempat yang digeruni, tempat untuk menjalankan hukuman agar individu yang terlibat serik untuk melakukan jenayah. Namun situasi sekarang penjara telah berubah ke arah bentuk pemulihan dan pemasyarakatan serta terbuka kepada masyarakat untuk bersama-sama menjayakan program pemulihan di dalam dan di luar tembok penjara.

Seiring dengan usaha itu, Universiti Utara Malaysia bersedia bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia dengan menawarkan peluang kepada penghuni penjara di negara ini untuk melanjutkan pelajaran bagi peringkat ijazah dan pasca siswazah.

Turut hadir di majlis tersebut adalah YBhg. Dato’ Abdul Rahim Mohd Radzi, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Dato’ Mohamad Khalid Hj Shariff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertahanan dan YBhg Dato’ Jariah Mohd Said, Ketua Pengarah Jabatan Pendafatran Malaysia yang turut dianugerahkan pingat Bakti Setia Jabatan Penjara Malaysia.



















3 November 2011
KDN Sana Sini