Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSC) dari Jabatan Perdana Menteri dan Cyber Security Malaysia, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menganjurkan Seminar Pengurusan Keselamatan Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan pada 29 November 2011 di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur.

Program yang dianjurkan secara tahunan ini telah dihadiri oleh seramai 300 orang peserta dari seluruh negeri yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri (JSPN), Setiausaha – Setiausaha Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri dan pemilik – pemilik Sasaran Penting.

Perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Lee Chee Leong diiringi oleh Y.Bhg. Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan (TKSUN), Dato’ Abdul Rahim bin Mohd Radzi. Dalam majlis yang sama, Dato’ Lee Chee Leong sempat meluangkan masa untuk melawat tapak pameran yang disertai oleh 13 agensi pertubuhan antaranya Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Power Fence (Malaysia) Sdn. Bhd serta beberapa lagi agensi yang lain.

Pihak penganjur telah menjemput lima orang pembentang antaranya YBhg. Dato’ Dr. Mahani binti Zainal Abidin (wakil dari Institut Strategik Dan Kajian Antarabangsa), Encik Thomas Koruth Samuel (Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan), Encik Rusli bin Abdul Rahman (Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia), Encik Anwer bin Yusoff (CyberSecurity Malaysia) serta wakil dari KDN, Y.Bhg TKSUN, Dato’ Abdul Rahim bin Mohd Radzi.



















30 November 2011
KDN Sana Sini