- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyediakan kertas pertimbangan cadangan melonggarkan dasar serta syarat proses pemutihan Program 6P kepada YAB Timbalan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) untuk kelulusan dan pelaksanaan serta merta.
- Keputusan ini dicapai sebulat suara dalam Mesyuarat Agensi Kawal Selia Program 6P anjuran KDN di Putrajaya di sini, malam tadi (19 Disember 2011) dengan dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN.
- Mesyuarat ini membincangkan tiga perkara utama iaitu cadangan membenarkan agensi kawal selia melonggarkan syarat proses pemutihan dan cadangan supaya kerajaan membuka 10 sektor luar dasar dan 11 subsektor di bawah sektor perkhidmatan yang ketika ini dibekukan daripada menyertai proses pemutihan.
- Pertimbangan ini dibuat dengan mengambil kira maklum balas pelbagai pihak termasuk majikan, syarikat pengurus dan pejabat kedutaan yang merayu supaya tiga perkara tersebut dikaji semula oleh kerajaan bagi membolehkan semua sektor berkaitan menyumbang impak kepada ekonomi negara.
- Hadir dalam mesyuarat ini ialah wakil dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Kerja Raya (KKR); Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPPK); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Pelancongan (MOTOUR); Kementerian Pengangkutan (MOT); Kementerian Sumber Manusia (KSM); Kementerian Kesihatan (KKM); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Luar Negeri (KLN); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
- Jika kertas pertimbangan ini diluluskan, prosedur pemutihan akan lebih mudah. MITI contohnya bersetuju mengecualikan nisbah kelayakan bagi permohonan pekerja sektor perkilangan, manakala KPKK pula sedia melonggarkan syarat nisbah pekerja berbanding kadar kebiasaan.
- Bagaimanapun, KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sehingga hari ini (20 Disember 2011) masih menangguhkan keputusan terhadap permohonan mesyuarat yang meminta supaya tempoh memproses sijil JobsMalaysia dipendekkan dari tujuh (7) hari kepada sehari. Ini berikutan maklum balas pelbagai pihak, khususnya majikan yang mendakwa bahawa birokrasi itu antara punca utama yang melewatkan proses pemutihan.
- Sepuluh (10) sektor luar dasar yang akan dibuka menerusi cadangan ini ialah croupier, perlombongan/kuari, kayu bakau, gerai/kafe/kantin/katering, restoran makanan segera, pemotong rumput, vendor akhbar, pencuci rumah ke rumah, pencuci kenderaan dan bengkel kereta.
- Sementara itu, 11 subsektor yang berkaitan pula adalah barangan logam/lusuh/terpakai, pengendalian kargo, rumah kebajikan, spa/refleksologi, perhotelan, kedi/padang golf, dobi, tukang gunting, tukang emas, perniagaan runcit/borong dan perniagaan tekstil.
- Pada masa sama, sejumlah 26,340 pembantu rumah asing yang berdaftar ketika proses pendaftaran Program 6P bermula 1 hingga 31 Ogos 2011 juga akan dibuka untuk permohonan bagi proses pemutihan.
- Bagaimanapun, setiap PATI yang diputihkan menerusi Program 6P ini hanya dibenarkan bekerja bagi tempoh maksimum tiga tahun dan sebaik tamat tempoh, mereka perlu kembali ke negara masing-masing. Justeru, lebih sejuta PATI dianggar akan meninggalkan Malaysia menjelang 2015.
####


















20 December 2011
Kenyataan Media/Akhbar