web analytics

Kenyataan Media – KDN Memanggil Ketua Pengarang Akhbar Nanyang Siangpau Mengenai Penggunaan Kalimah Allah Pada 28 Disember 2011

28 December 2011

Kenyataan Media/Akhbar

1. Kementerian Dalam Negeri telah memanggil Ketua Pengarang Akhbar harian Nanyang Siangpau pada 28 Disember 2011 kerana tindakan akhbar tersebut memuatkan kalimah Allah dalam bentuk logo dalam penyiaran artikel bertajuk Hukum Hudud Jadi Isu Kontroversi di muka surat A8 keluaran 27 Disember 2011, dan artikel bertajuk Hukum Hudud Membimbangkan Kaum Bukan Islam di muka surat A8 keluaran 28 Disember 2011.

2. Pemaparan kalimah Allah tersebut jelas bertentangan dengan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan ketenteraman awam.

3. Pihak Nanyang Siangpau di beri surat tunjuk sebab atas tindakan memuatkan kalimah Allah ini di dalam akhbar tersebut. Ini adalah kerana ianya menyentuh sensitiviti umat Islam dan boleh mengakibatkan ketegangan dan kekeliruan di kalangan masyarakat umum di negara ini.

4. Kementerian Dalam Negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana akhbar yang melakukan kesalahan ini pada masa hadapan berdasarkan peruntukan di dalam akta tersebut.

#####

Disediakan:

Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
Aras 9, Blok D1, Kompleks D
Putrajaya .

No. Telefon: 03 – 8886 8000

,