web analytics

Kenyataan Media – Kerajaan Lulus Dasar Serta Syarat Pemutihan Program 6P Dilonggarkan Pada 27 Disember (Selasa)

27 December 2011

Kenyataan Media/Akhbar

  1. Kerajaan bersetuju melonggarkan dasar serta syarat proses pemutihan Program 6P berkuatkuasa serta merta dan selari keputusan tersebut, 10 sektor luar dasar dan 11 subsektor di bawah sektor perkhidmatan yang sebelum ini dibekukan kini dibuka untuk menyertai proses pemutihan.
  2. Bagaimanapun, kerajaan memutuskan bahawa tempoh penggajian pekerja dan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi dua kelulusan tersebut dihadkan dua tahun sahaja.
  3. Pada masa sama, sektor informal iaitu Pembantu Rumah Asing (PRA) turut diluluskan untuk proses pemutihan dan diletakkan di bawah urusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), manakala Agensi Kawal Selia proses pemutihan pula diberi kuasa melonggarkan prosedur syarat serta kriteria sedia ada.
  4. Keputusan ini dibuat YAB Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) dan sah berkuatkuasa sehingga proses pemutihan selesai.
  5. Hal ini adalah susulan permohonan yang dipanjangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai mewakili pelbagai kementerian dan agensi kawal selia Program 6P selepas mengambil kira rayuan majikan, syarikat pengurus dan pejabat kedutaan yang mahu semua perkara tersebut dikaji semula.
  6. Dalam perkembangan lain, satu lagi cawangan pusat setempat (one stop centre) telah diwujudkan KDN di JIM Seberang Jaya, Pulau Pinang sebagai tambahan kepada kepada dua yang sedia ada di JIM Putrajaya dan JIM Setia Tropika, Johor Baharu.
  7. Sehingga tarikh akhir proses pemutihan pada 10 Januari 2012, kesemua tiga pusat setempat ini akan beroperasi setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
  8. Pembukaan cawangan di Pulau Pinang ini bertujuan memberi kemudahan kepada majikan di utara tanahair untuk menguruskan permohonan berkaitan pekerja asing tanpa izin (PATI) mereka masing-masing tanpa perlu hadir ke pusat operasi utama di JIM Putrajaya.
  9. Melainkan permohonan pertukaran majikan oleh PATI, semua urusan di cawangan Seberang Jaya menyamai operasi di pusat setempat proses pemutihan Putrajaya, iaitu permohonan ID untuk majikan mengemaskini data PATI, permohonan Surat Makluman kepada kedutaan, pemprosesan permohonan pengambilan pekerja asing, pembayaran levi dan pengeluaran Surat Kelulusan Pemutihan.
  10. Untuk maklumat lanjut, majikan dan orang ramai diminta melayari laman web KDN di alamat www.moha.gov.my atau menghubungi talian hotline, 8880 1157.

-Tamat-

LAMPIRAN:

Sepuluh (10) sektor luar dasar yang dibuka untuk proses pemutihan ialah croupier, perlombongan/kuari, kayu bakau, gerai/kafe/kantin/katering, restoran makanan segera, pemotong rumput, vendor akhbar, pencuci rumah ke rumah, pencuci kenderaan dan bengkel kereta.

Sebelas (11) subsektor yang dibuka untuk proses pemutihan adalah barangan logam/lusuh/terpakai, pengendalian kargo, rumah kebajikan, spa/refleksologi, perhotelan, kedi/padang golf, dobi, tukang gunting, tukang emas, perniagaan runcit/borong dan perniagaan tekstil.

####

Disediakan:

Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
Aras 9, Blok D1, Kompleks D
Putrajaya.

,