web analytics

Kenyataan Media – Penapisan Sendiri (Self-Censorship) 23 Disember 2011

27 December 2011

Kenyataan Media/Akhbar

Lembaga Penapis Filem (LPF) masih tetap bertanggungjawab terhadap penapisan semua filem sebelum ditayangkan di Malaysia  selepas urusan tapisan dilaksanakan sendiri  oleh pihak industri filem mulai tahun 2012.

Berikut adalah penjelasan mengenai konsep penapisan baru:

  • Konsep

Konsep tapisan sendiri merupakan satu inisiatif baru selari dengan dasar transformasi kerajaan. Di bawah cadangan ini tangungjawab penapisan filem akan dipikul secara bersama oleh LPF dan pihak industri filem. Sebelum ini tanggungjawab tersebut diletakkan sepenuhnya kepada LPF yang mana apabila timbul isu berkaitan kandungan filem. Diharapkan selepas ini kedua-dua pihak, LPF dan industri filem, sama-sama bertanggungjawab terhadap penayangan sesuatu filem.

  • Peranan LPF

LPF dengan kerjasama pihak industri filem akan mengkaji semula garis panduan dan seterusnya memantau setiap aktiviti penapisan filem. Sebarang pelanggaran akan diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

LPF akan terus mengeluarkan sijil kelulusan ( Sijil A dan Sijil B ) sebagai pengesahan tapisan terhadap sesuatu filem berdasarkan perakuan pihak industri filem.

Sehingga pihak industri filem mampu melaksanakan tapisan sendiri, LPF akan terus melaksanakan tapisan. Malah selepas pelaksanaan sistem baru, LPF akan terus terlibat dalam tapisan melalui semakan secara rambang ke atas sesuatu filem yang telah dibuat tapisan oleh pihak industri filem.

  • Peranan TV/industri filem

Di bawah cadangan ini urusan tapisan dan pengkelasan filem akan dilaksanakan sendiri oleh beberapa pihak yang dikenal pasti dalam pengedaran dan penayangan filem iaitu stesen TV , pengimport filem dan pengedar filem. Bagi melaksanakan tugas ini ketiga-tiga pihak berkenaan akan dipastikan mempunyai infrastruktur dan kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Pengimport dan pengedar filem yang tidak mampu menjalankan tapisan sendiri boleh menghantar filem mereka kepada badan yang diberi akreaditasi oleh LPF. Pada masa ini badan akreaditasi sedang dikenalpasti.

Pengarah dan penerbit filem juga bertanggungjawab terhadap sesuatu filem yang dikeluarkan secara melaksanakan tapisan awal berdasarkan garis panduan yang sama.

Di samping itu individu dan keluarga juga akan melaksanakan tapisan kendiri yang mana berdasarkan klasifikasi filem (U, P13 dan 18) mereka membuat keputusan sama ada untuk menonton atau sebaliknya.

  • Melindungi kepentingan kerajaan / industri filem / masyarakat

Kaedah baru penapisan filem yang akan diperkenalkan masih tetap berpegang kepada empat aspek utama penapisan filem iaitu Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Keagamaan, Sosiobudaya serta Ketertiban dan Ketatasusilaan. LPF berharap inisiatif ini akan terus menjamin kepentingan Negara, membantu pembangunan industri filem dan melindungi kesejahteraan masyarakat.

#####

Disediakan:

Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
Aras 9, Blok D1, Kompleks D
Putrajaya

No. Telefon: 03 – 8886 8000

,