web analytics

Kenyataan Media – Perkembangan Program 6P Pada 23 Disember (Jumaat)

27 December 2011

Kenyataan Media/Akhbar

  1. Pelbagai pendekatan telah digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan majikan dan syarikat pengurus untuk segera bertindak menguruskan proses pemutihan pekerja asing tanpa izin (PATI) masing-masing bagi mengelakkan proses permohonan di saat-saat akhir memandangkan tarikh 10 Januari 2012 semakin hampir.
  2. Pendekatan terbaru itu adalah dengan menghantar pesanan khidmat ringkas (sms) kepada majikan dan syarikat pengurus yang berada di negeri Johor (17,354), Melaka (562), Selangor (10,126) dan Pulau Pinang (2,700).  Sehingga hari ini (23 Disember 2011) sebanyak 30,742 sms telah dihantar kepada majikan dan syarikat pengurus yang terlibat.  Daripada jumlah tersebut, kira-kira 10% majikan dan syarikat pengurus yang dihubungi telah memberi respon dan ada juga yang telah membangkitkan beberapa persoalan mengenai proses tersebut.
  3. Pendekatan ini akan berterusan dan sms akan terus dihantar kepada semua majikan dan syarikat pengurus selewat-lewatnya pada 27 Disember 2011 untuk tidak berlengah tampil ke Pusat Pemutihan Program 6P yang terdapat di Putrajaya dan Johor Bahru menyelesaikan apa saja urusan berkaitan bagi mengelakkan proses permohonan mereka tertunggak dan lewat diproses.
  4. Dalam perkembangan lain,  Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewujudkan cawangan kedua pusat setempat (one stop centre) di negeri Pulau Pinang yang akan mula beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari Isnin hingga Ahad, bermula 27 Disember 2011.  Cawangan kedua pusat pemutihan ini akan beroperasi di Pejabat Imigresen Negeri Pulau Pinang, Jalan Kelasah, Bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang.
  5. Dalam satu operasi penguatkuasaan 6P yang telah dijalankan di Jalan Kasipillay, Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur oleh Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 22 Disember 2011, seramai empat orang (tiga lelaki dan seorang wanita warga Malaysia) yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 50 tahun telah ditangkap.  Dalam operasi tersebut beberapa peralatan telah dirampas antaranya ialah sebuah mesin Biometrik NERS yang tidak mempunyai nombor siri, berlogo Jata Negara dan perkataan Malaysia beserta pengecas, sebuah beg berjenama Acer, dua unit kamera berjenama Logitech, sebuah laptop Acer Aspire, sebuah mesin pencetak, 50 keping slip pendaftaran PATI bertarikh 24 Ogos 2011 dengan nombor siri yang sama tetapi nama PATI yang berbeza serta dua pasport Bangladesh dan dua pasport Indonesia yang disyaki palsu.
  6. Syarikat yang beroperasi ini mendakwa mendapat peralatan untuk pendaftaran PATI dari Syarikat Pengurus Berdaftar dengan KDN.  Empat warga Malaysia yang ditangkap tersebut akan ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(F), Akta Pasport 1966 dan Seksyen 56(1A)( C), Akta Imigresen yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

####

Disediakan:

Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
Aras 9, Blok D1, Kompleks D
Putrajaya (03 – 8886 8000)

, ,