- Mulai 29 Disember 2011 sehingga 10 Januari 2012, tiga Cawangan Pusat Setempat (OSC) yang sedia ada iaitu Pusat Pemutihan di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Kompleks KDN Johor Bahru dan Bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang akan mula berurusan 24 jam.
- Bagi melancarkan proses pemutihan Program 6P dan mengurangkan kesesakan yang dihadapi oleh orang ramai yang berurusan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil inisiatif mewujudkan empat lagi Cawangan Pusat Setempat (One Stop Centre) yang akan turut beroperasi 24 jam iaitu di Dewan Balora Perdana, Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (Presint 2) Putrajaya, Pejabat Imigresen Malaysia (Cawangan Pasport) Presint Diplomatik (Presint 15) Putrajaya, Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta, Kuala Lumpur serta Pejabat Imigresen cawangan Pelabuhan Kelang, Jalan Depoh, Seksyen 15, bermula Jumaat (30 Disember 2011) sehingga tarikh tamat pendaftaran program Pemutihan iaitu pada 10 Januari 2012.
- Pembukaan empat cawangan ini bertujuan untuk memberi kemudahan kepada semua pihak khususnya Majikan dalam menguruskan permohonan berkaitan Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI) seperti permohonan ID untuk pihak Majikan mengemaskini Data PATI, permohonan Surat Makluman kepada pihak kedutaan, pemprosesan permohonan pengambilan pekerja asing, pembayaran levi dan pengeluaran Surat Kelulusan Pemutihan menjelang tarikh akhir 10 Januari 2012 tanpa perlu hadir ke Pusat Operasi Utama di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. Sehubungan itu, pihak majikan digesa supaya bertindak segera dan tidak menunggu sehingga saat akhir untuk berurusan dalam Program Pemutihan 6P ini.
####
Disediakan:
Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri, Aras 9, Blok D1, Kompleks D, Putrajaya.
No. Telefon: 03 – 8886 8000


















29 December 2011
Kenyataan Media/Akhbar