web analytics

Program Kembara Media NBOS (KDN) 2011 Di Johor Bahru Pada 11 Disember 2011

15 December 2011

KDN Sana Sini

Setelah dibawa ke serata selatan Malaysia, Program Kembara Media NBOS (KDN) 2011 akhirnya telah melabuhkan tirai dengan Majlis Perasmian Penutup yang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pendaftaran & Imigresen), Dato’ Alwi bin Hj Ibrahim di Kompleks KDN Johor Bharu pada 11 Disember 2011.

“Kembara Media ini merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi memastikan rakyat memahami usaha-usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan dalam menurunkan kadar jenayah serta kesungguhan kerajaan dalam mengawal masalah jenayah,” katanya dalam ucapan penutupan tersebut. Kata beliau, program ini merupakan peluang terbaik KDN untuk mendapatkan idea dan mendengar pandangan khususnya dari kumpulan-kumpulan sasar terutamanya dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.

“Penurunan kadar jenayah ini juga membuktikan tentang keberkesanan strategi dan pendekatan kerajaan dengan menggubal kaedah penyelesaian secara holistic dan memnyeluruh dalam memerangi usaha jenayah,” ujarnya lagi. Terdahulu dalam majlis yang sama, satu Taklimat Penurunan Kadar Jenayah kepada peserta Kembara Media telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, ACP Hj. Che Yussof bin Che Ngah dan diikuti dengan Forum Keselamatan Bersama wakil Dewan Perniagaan/NGO.

Perbincangan yang berkisarkan tentang “Program Bandar Selamat” telah disertai oleh lima orang ahli panel terdiri daripada Pengarah Rawatan, Perubatan & Pemulihan AADK Malaysia, Tn. Haji Izhar bin Abu Talib; Pengarah Bahagian Dasar dan Strategik RELA, Mej. Jen. (RELA) Khairi bin Mohd Alwee; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, ACP Hj. Che Yussof bin Che Ngah; wakil Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Kol. (PA) Hj. Ahmad Afandi bin Mohamad serta Pengarah Bahagian Perancang Majlis Bandaraya Johor Bharu (MBJB), En. Affendi bin Ahamad. Selain itu juga, Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KDN, En. Hassan bin Mohamad telah dipilih untuk menjadi moderator bagi mengendalikan forum tersebut.

, ,