Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia
Terima kasih diucapkan kepada Pengacara Majlis.
Yang Berbahagia Tan Sri Mahmood bin Adam
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
Yang Berbahagia Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha
Ketua-ketua Jabatan dan Agensi.
Setiausaha-setiausaha Bahagian serta hadirin yang dihormati sekalian.
1. Saya merasa amat bersyukur kerana kita semua dapat bersama-sama hadir dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada hari ini. Sedar atau tidak, kita telah pun berada di penghujung tahun 2011 dan perhimpunan hari ini merupakan yang terakhir bagi tahun 2011.
2. Di sepanjang tahun ini, banyak pengalaman, cabaran dan dugaan yang telah kita lalui. Apa yang penting, melalui pemerhatian dan penghayatan saya, KDN telah melangkah jauh meneruskan agenda yang telah ditetapkan. Kesungguhan semua pihak dalam memastikan penyampaian perkhidmatan berada di tahap cemerlang sebagai teras utama, telah membuahkan hasil. Cuba kita lihat, Tujuh Komitmen Utama KDN yang digarapkan oleh YB. Menteri Dalam Negeri telah berjaya dilaksanakan pada tahun 2011, sehingga kejayaan-kejayaan tersebut dibukukan. Ini merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan kita semua. Sebenarnya, KDN berada di landasan yang betul selaras dengan agenda nasional negara iaitu Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, seiring dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Economic Transformation Program (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).
3. Saya mengambil kesempatan disini mengucapkan tahniah kepada Jabatan, Agensi dan Bahagian di atas kejayaan-kejayaan yang dicapai. Bagi Polis Di Raja Malaysia (PDRM), banyak sekali kejayaan telah diraih dan dalam masa yang sama berjaya mengembalikan persepsi positif di kaca mata rakyat terhadap perkhidmatannya.
4. Bagi Memantapkan Pelaksanaan NKRA Mengurangkan Jenayah, saya lihat pelbagai usaha dan program telah berjaya dilaksanakan. Bagi tempoh Januari hingga November 2011, jenayah indeks menurun sebanyak 16,761 kes (10.3% pengurangan) daripada 162,207 kes kepada 145,446 kes berjaya dicatatkan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2010. Manakala jenayah jalanan pula, bagi tempoh yang sama menurun sebanyak 14,226 kes (40.1% pengurangan) berjaya dicatatkan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2010.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
5. Saya juga berbangga dengan Jabatan Penjara Malaysia. Jabatan ini sebenarnya telah melakukan penambahbaikan menerusi Strategi Lautan Biru (Narional Blue Ocean Strategy) iaitu Program Pemasyarakatan Banduan yang melibatkan usahasama Jabatan Penjara dan Kementerian Pertahanan di lima Pusat Pemulihan Masyarakat yang bermula seawal bulan Mac 2011 dan telah pun selesai pada akhir Julai 2011 baru-baru ini. Program ini telah berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan di mana kos membina lima (5) buah Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di kem tentera hanya membabitkan kos berjumlah RM 22,884,300.06 jauh lebih rendah berbanding kos untuk membina sebuah lagi penjara baru.
6. Begitu juga dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), yang mana telah melakukan banyak sekali penambahbaikan dan memperkenalkan produk-produk baru pada tahun ini. Perkhidmatan yang terkini dilaksanakan oleh JIM ialah orang ramai kini boleh memperbaharui pasport dan membuat bayaran secara dalam talian menerusi laman web MyONLINE Pasport. Perkhidmatan ini merupakan satu kemudahan hasil inovasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen dalam memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai. Dengan adanya sistem ini secara tidak langsung orang ramai tidak perlu lagi datang ke kaunter untuk memperbaharui pasport dan ini dapat menjimatkan masa membantu mengatasi masalah kesesakan di kaunter JIM.
7. Dari segi memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah, sebenarnya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah banyak sekali melakukan penambahbaikan dan melaksanakan transformasi program rawatan dan pemulihan melalui penubuhan Klinik Cure & Care 1Malaysia, memperkenalkan Cure & Care Service Centre serta mengklsifikasikan PUSPEN kepada PUSPEN Triage dan PUSPEN One. Disamping itu juga AADK telah membuat engagement di peringkat antarabangsa dalam usaha mengenalpasti, mewujudkan mekanisme dan mencari inisiatif baru untuk menangani kemelut dan isu tersebut. Walaupun banyak usaha telah dilakukan, ia perlu dilipatgandakan lagi. Cara penyelesaian harus diperkukuhkan dan diperbaharui. Kalau dilihat kebelakangan ini, semakin banyak dadah jenis baru yang mempunyai kesan yang lebih kuat diperkenalkan. Ini meletakkan generasi muda dan golongan yang terdedah, dalam keadaan cukup berisiko.
8. Saya juga sangat berpuas hati dengan pencapaian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Jabatan ini juga sentiasa memastikan sistem penyampaian perkhidmatan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam memenuhi ekspektasi stakeholder dan pelanggan. Bagi mencapai matlamat tersebut, JPN sentiasa peka terhadap keperluan kepada penambahbaikan agar seiring dengan perubahan arus globalisasi, peningkatan teknologi maklumat (ICT) serta pemantapan tadbir urus Jabatan. JPN sentiasa memikirkan cara terbaik dalam mempertingkatkan sistem perkhidmatannya. Sepanjang tahun 2011, JPN telah mengambil langkah-langkah dan usaha-usaha proaktif, dalam meningkatkan dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan. Antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan dan pencapaian yang telah dicapai oleh JPN adalah:
- Perluasan percetakan MyKad teragih
- Pengupacaraan pendaftaran perkahwinan hujung minggu
- Pengenalan dokumen baru daftar kematian / permit mengubur di Semenanjung Malaysia dan
- Pernarafan portal 5 bintang bagi portal JPN – Portal JPN telah berjaya mencapai penarafan 5 bintang berdasarkan kepada penilaian Malaysia Government Portals & Websites Assessment (MGPWA 2011) dengan jumlah markah keseluruhan 100% dengan menduduki tangga keempat terbaik, bagi kesemua agensi kerajaan yang dinilai
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
9. Sukacita saya maklumkan disini bahawa Akta baru melibatkan pemerkasaan peranan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan digubal bagi memperluaskan fungsi kedua-dua agensi itu dalam menangani isu keselamatan negara. Akta tersebut sedang dikaji Jabatan Peguam Negara. Usaha mewujudkan undang-undang baru itu selaras dengan perkembangan semasa dan penggubalannya perlu berikutan pemansuhan beberapa enakmen termasuk Ordinan Darurat. Akta tersebut akan menentukan matlamat dan hala tuju baru bagi RELA dan JPAM untuk sentiasa bersedia bagi menghadapi pelbagai ancaman terhadap negara sama ada dari dalam atau luar. Awal tahun depan akan bermulalah era baru bagi RELA dan JPAM yang telah diwujudkan untuk menangani ancaman komunis, untuk dilihat pengisiannya dengan lebih relevan dan bermakna untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran semasa. JPAM diakui mempunyai peranan yang penting dalam memberi perlindungan kepada penduduk awam apabila negara dilanda krisis, bencana atau peperangan.
10. Pada perkembangan lain, saya sangat teruja dengan semangat kesukarelaan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini untuk menyertai RELA semakin meningkat. Gelombang itu dibuktikan apabila sehingga November lalu, keanggotaan RELA adalah seramai 2.8 juta ahli. Tahniah saya ucapkan kepada RELA. Kita dapat lihat rakyat tidak lagi memperlekehkan peranan RELA kerana didapati keahlian RELA turut disertai oleh golongan professional, korporat, ahli politik dan sebagainya. Ini menunjukkan peranan RELA tetap relevan dan saya berharap RELA dapat teruskan Kempen “1RELA 1 RUMAH 1 SUKARELA” dan pada masa yang sama merancang pendekatan yang baru yang lebih dekat di hati rakyat.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
11. Pada masa kini kerajaan khususnya KDN sedang melaksanakan fasa kedua Program 6P bagi menyelesaikan isu pekerja asing dan pendatang tanpa izin (PATI) iaitu PEMUTIHAN. Bahagian Pekerja Asing dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta syarikat pengurus yang dilantik kerajaan sedang giat melaksanakannya. Sehingga 19 Disember 2011, seramai 98,981 pendatang dan pekerja asing tanpa izin atau PATI yang telah didaftarkan untuk proses pemutihan dibawah Program 6P yang membabitkan 10,065 majikan di seluruh negara. Bagi proses pengampunan pula, seramai 55,972 pendatang sudah diampun dan pulang ke negara asal masing-masing.
12. Jumlah PATI tertinggi yang diampunkan dan keluar dari negara membabitkan warganegara Indonesia (36,720), diikuti India (4,126), Nepal (2,958) Myanmar (2,594) dan Vietnam (1,307). Pendatang yang diampun ini sudah disaring dan bersih dari sebarang rekod kesalahan jenayah. Segala kos berkaitan ditanggung sepenuhnya oleh mereka.
Sehingga kini, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang peruntukan bagi membiayai kos berkaitan termasuklah makan minum atau penginapan sementara.
13. Bagi isu pemberian taraf warganegara sebagaimana yang digembar gembur oleh sesetengah pihak, sukacita saya menegaskan disini bahawa Kerajaan tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan taraf kewarganegaraan Malaysia kepada warga asing. Penganugerahan taraf kewarganegaraan adalah berdasarkan kepada permohonan dan ianya merupakan anugerah tertinggi dari Kerajaan Malaysia. Setiap permohonan adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang semasa iaitu Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan. Permohonan yang teratur, lengkap dan berkelayakan sahaja yang akan diproses. Oleh yang demikian, permohonan taraf kewarganegaraan di kalangan warga Indonesia mahupun warga Filipina juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang tersebut.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
14. Kerajaan amat prihatin terhadap suara rakyat yang inginkan kebebasan untuk berhimpun dan bersuara. Walau bagaimanapun, kebebasan ini perlu diseimbangkan dengan kewajipan Kerajaan untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam. Rang Undang-undang (RUU) Perhimpunan Aman 2011 yang mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak akhirnya diluluskan Dewan Rakyat dengan enam pindaan yang bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata demi kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam. RUU berkenaan tidak melanggar Perlembagaan negara dengan intipati pentingnya adalah untuk memberi nafas baru kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan elemen-elemen kebebasan berhimpun secara aman iaitu hak berhimpun tanpa senjata.
15. Bagi menangani isu-isu pelajar asing, Kerajaan telah menubuhkan satu Sub Unit Khas Pas Pelajar pada 31 Oktober 2011 sebagai satu tindakan bersepadu di antara agensi yang terlibat. Unit khas ini terdiri daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sebagai agensi kawal selia bagi Pusat Bertauliah, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai agensi kawal selia bagi Institusi Pengajian Tinggi (IPTA/IPTS) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebagai agensi kawal selia bagi Institusi Pengajian Swasta, Pusat Bahasa dan Sekolah Antarabangsa. Kerajaan sangat memandang serius kamelut pelajar asing yang menimbulkan banyak masalah. Bagi tujuan ini kerajaan akan memperkenalkan sistem tapisan bagi menyaringkan kemasukan pelajar asing ke institusi pengajian tinggi tempatan bagi menangani masalah kebanjiran pelajar asing ‘palsu’ terutama warga Afrika yang semakin berleluasa kebelakangan ini.
16. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin menyatakan rasa puas hati di atas segala komitmen yang telah diberikan oleh semua warga KDN dalam memastikan pelaksanaan program dan aktiviti sepanjang tahun 2011. Namun demikian suka sekali lagi saya mengingatkan kepada semua supaya kita sentiasa melakukan penambahbaikan dan perlu berubah. Tidak seperti bidang lain, keselamatan negara adalah bersifat `zero sum’. Kita tidak boleh sekali-kali membenarkan kejahatan mengatasi kebaikan, keganasan mengatasi keamanan, kemusnahan menggantikan kemakmuran. Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama melipatganda usaha dan meningkatkan integriti masing-masing demi maruah negara. Diharapkan semua warga KDN dapat memperlihatkan satu usaha dan daya saing yang tinggi serta boleh memberikan komitmen yang berterusan demi menggalas tanggungjawab pada tahun 2012. Akhir sekali saya mengambil kesempatan disini mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Natal” kepada semua warga KDN yang beragama kristian dan “Selamat Menyambut Tahun Baru (2012)”.
Sekian, terima kasih.


















27 December 2011
KDN Sana Sini