
Putrajaya, 10 Januari: Gaya hidup sihat boleh ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarga dan masyarakat. Kehidupan yang sihat boleh dianggapkan seperti hidup yang ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupan hariannya. Oleh itu Biro Wanita, Kelab Kebajikan Dan Sukan mengambil inisiatif ini dengan mengadakan program “Berbasikal Mengelilingi Putrajaya” pada 16 Disember 2011 yang lalu. Program tersebut bermula dengan taklimat yang disampaikan oleh jurupandu arah Encik Syahrul berserta pembantunya Encik Irwan pada jam 9.00 malam di Persint 9. Kayuhan yang mengambil masa hampir 3 jam setengah melalui 4 check-point iaitu di Presint 10, bulatan Kompleks KDN, Masjid Putra dan Mahkamah Majistret Presint 2. Peserta berbasikal teruja melihat ramai golongan muda, remaja, belia dan dewasa meluangkan masa di Presint 2 dengan aktiviti riadah yang berfaedah. Ruang legar ditengah-tengah Presint 2 digunakan sepenuhnya untuk bermain kasut roda, basikal dan skateboard. Ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin mempunyai kesedaran terhadap pentingnya kesihatan terhadap diri sendiri. Setelah berehat sebentar dan mengambil gambar, peserta meneruskan perjalanan balik ke Presint 9 bagi menamatkan aktiviti berbasikal. Walaupun penat mengayuh, peserta berbasikal tidak berputus asa dan cuba untuk menghabiskan perjalanan sehingga ke penamat. Syabas kepada semua peserta!!

>Oleh : Rona Raniza


















11 January 2012
KDN Sana Sini