web analytics

Gunakan Tenaga Dan Masa Secara Optimum

30 January 2012

KDN Sana Sini

Oleh : Nor Afzan binti Abd. Rahman

Bentong, 26 Januari: Satu lawatan rasmi dan kunjungan Encik Azmi bin Mustafa Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang ke Pejabat AADK Daerah Bentong telah dibuat pada pada 19 Januari yang lalu. Lawatan rasmi tersebut dimulakan dengan Taklimat dan Pembentangan Laporan Pelaksanaan Program Tahun 2011 dan Perancangan Strategik Tahun 2012 oleh Ketua Pegawai AADK Daerah Bentong iaitu Puan Noorkhamizah binti Md Noor. 

Pada ucapan amanat, Encik Azmi berharap agar semua pegawai dan kakitangan dapat menjaga disiplin terutamanya jadual kedatangan kerja ke pejabat. Beliau turut berharap pegawai dan kakitangan Daerah Bentong dapat menggunakan tenaga dan masa secara optimum bagi mencapai sasaran Malaysia Bebas Dadah. Di samping itu juga, beliau memohon agar setiap program yang dilaksanakan perlu melibatkan semua kaum, selaras dengan konsep 1Malaysia.

Lawatan dan kunjungan tersebut diteruskan dengan Majlis Ramah Mesra Pengarah AADK Negeri Pahang bersama JKPD Daerah Bentong bertempat di Caring Community House (CCH) Bentong. Majlis tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan negeri dengan Daerah Bentong dan para sukarelawan SKUAD 1Malaysia Daerah Bentong selain dapat memperkasakan keupayaan dan komitmen Warga AADK Daerah Bentong serta JKPD Bentong dalam melaksanakan apa jua tugasan yang diamanahkan dan mempelbagaikan peranan Caring Community House (CCH).

Sesi lawatan rasmi dan kunjungan tersebut berakhir dengan penyampaian cenderahati oleh Pengerusi JKPD iaitu Tuan Haji Abdullah bin Abdul Hadi kepada Pengarah AADK Negeri Pahang dan lawatan ke sekitar Caring Community House (CCH) serta tapak cadangan Cure & Care Service Centre (CCSC) di Felda Mempaga.

,