Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi fokus terhadap dua inisiatif utama bagi meningkatkan usaha membanteras kegiatan jenayah di seluruh negara pada tahun ini. Dua inisiatif tersebut adalah menerusi usaha meningkatkan kehadiran polis di jalanan dan melibatkan lebih ramai rakyat dalam aktiviti mencegah jenayah seperti menerusi program community policing.
Pendekatan untuk meningkatkan jumlah anggota di jalanan (omnipresence) sepanjang tahun ini telah dirangka dengan komprehensif di mana Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan mempunyai jumlah kehadiran anggota serta sukarelawan seramai 62,191 orang pada tahun ini untuk digerakkan di seluruh negara. Jumlah ini merupakan penambahan seramai 35,029 orang pada tahun ini daripada 27,162 sedia ada pada tahun lalu. Penambahan tersebut adalah lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu.
Mengikut pecahan, daripada 62,191 orang, 42,387 adalah dari kalangan anggota polis, iaitu tambahan seramai 20,273 anggota daripada 21,624 sedia ada pada 2011. Pada masa yang sama, jumlah tambahan keseluruhan anggota sukarelawan adalah seramai 14,266 orang pada tahun ini. Mereka terdiri daripada 11,452 anggota Rela (tambahan 7,521 orang daripada 3,931 orang), 8,307 anggota Jabatan Pertahanan Awam JPAM (tambahan 6,700 orang daripada 1,607 orang) dan 45 orang lagi dari sumber lain-lain.
Saya penuh yakin usaha menurunkan kadar jenayah dan membentuk rasa selamat di kalangan rakyat seluruh negara ini menerusi penambahan kehadiran polis serta anggota sukarelawan di jalanan, dapat diteruskan dengan lebih berkesan pada tahun ini.
Pada tahun lalu, seramai 27,162 anggota PDRM, Rela dan JPAM telah digerakkan khusus untuk membanteras kegiatan jenayah di jalanan di mana daripada jumlah tersebut seramai 21,624 anggota polis, 3,931 anggota Rela, dan 1,607 anggota JPAM telah terlibat.
Secara keseluruhan, prestasi pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah bagi tahun 2011 adalah amat membanggakan berdasarkan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) NKRA atau NKPI yang telah pun ditetapkan. Saya amat berbangga kerana 2011 telah memperlihatkan usaha-usaha pihak polis untuk menambahbaik tahap perkhidmatan kepada orang awam telah membuahkan hasil.
Segala pencapaian tersebut telah dilaporkan kepada Mesyuarat Delivery Task Force NKRA Jenayah pertama 2012 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Putrajaya, semalam.
Mesyuarat juga telah dimaklum bahawa berdasarkan soal selidik bebas yang dilaksanakan oleh TNS International untuk mengukur kepuasan masyarakat terhadap tugas yang dilaksanakan oleh PDRM, sebanyak 70.5 peratus daripada mereka yang berurusan di pejabat dan balai-balai polis telah menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan layanan yang diterima. Ini jauh mengatasi NKPI 2011 yang ditetapkan iaitu sebanyak 60 peratus. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih pihak PDRM dalam memperkenalkan pelbagai pendekatan baru termasuk mewujudkan customer service ratings dan bilik triaj (triage) untuk menangani kes-kes tertentu.
Kajian ini juga menunjukkan dengan jelas bahawa masyarakat kita yang mempunyai pengalaman berurusan dengan pihak polis telah mengiktiraf tugas-tugas yang telah dilaksanakan dan pada masa yang sama berasa yakin terhadap perkhidmatan anggota polis.
Dalam konteks menurunkan kadar jenayah secara keseluruhan, penurunan sebanyak 11.1 peratus atau sebanyak 19,629 kes berbanding tahun 2010 telah direkodkan. Ia melebihi matlamat asal iaitu sebanyak 10 peratus. Antara usaha yang telah dilaksanakan di bawah pendekatan ini termasuk operasi khas kejadian membanteras kegiatan mencuri motosikal. Pada tahun lalu sebanyak 154,822 motosikal telah diperiksa menerusi empat siri Ops Lejang yang membawa kepada penahanan terhadap seramai 930 orang. Polis juga telah melancarkan Ops Rentap untuk membanteras kejadian kecurian kereta di mana 1,383 orang telah ditahan bagi membantu siasatan.
Berhubung usaha menangani kadar jenayah jalanan pula, kita telah berjaya menurunkan kadar tersebut ke paras 39.7 peratus, iaitu hamper memenuhi matlamat 40 peratus yang telah ditetapkan di bawah matlamat asal. Begitu juga dengan NKPI untuk meningkatkan proses keadilan melalui usaha menambah bilangan kes-kes siasatan untuk dibawa ke muka pengadilan.
Selain itu, mesyuarat telah mengambil maklum bahawa walaupun terdapat penambahbaikan dari segi persepsi rakyat secara keseluruhan namun beberapa usaha perlu diberi tumpuan, terutama dalam mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selamat. Berdasarkan kajian TNS International pada penghujung 2011 berhubung kebimbangan rakyat menjadi mangsa jenayah, sebanyak 52.9 peratus responden yang telah ditemu bual telah menyatakan kebimbangan menjadi mangsa jenayah. Kita akur bahawa usaha-usaha ke arah meningkatkan rasa selamat di kalangan rakyat masih perlu dilipatgandakan.
Sekian.


















13 January 2012
Kenyataan Media/Akhbar