Dimaklumkan pada 11 Januari 2012 satu portal berita ‘online’ telah melaporkan dakwaan kononnya berlaku kejadian memukul dan menyebabkan kecederaan terhadap 200 banduan di Blok Berkat, Penjara Sungai Buloh oleh anggota penjara.
2. Jabatan ingin menegaskan bahawa tidak berlaku kejadian sepertimana laporan portal berkenaan. Kejadian yang berlaku sebenarnya boleh disifatkan sebagai ketegangan di kalangan kurang dari 200 banduan kerana tidak berpuashati dengan pemeriksaan keselamatan terhadap sel-sel mereka. Semasa kejadian mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota penjara yang bertugas dan dalam keadaan agresif.
3.Adalah dijelaskan berasaskan kepada ketetapan peraturan dan prosedur penjara, pemeriksaan keselamatan terhadap diri banduan, sel banduan, tempat kerja serta barang-barang milik banduan dilaksanakan dari masa ke semasa. Langkah ini adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman serta mencegah sebarang tindakan yang boleh membahayakan diri banduan berkenaan, banduan lain, pihak-pihak yang berurusan dengan penjara dan institusi penjara yang berkaitan.
4.Ketegangan berlaku dalam tempoh kira-kira 10 minit tersebut telah dapat dikawal oleh 10 anggota yang bertugas. Bagi menyuraikan keadaan kawalan dibuat dan semua banduan diarahkan masuk ke sel masing-masing. Tindakan cepat dan dalam keadaan berasak tersebut telah menyebabkan hanya 4 banduan dan 2 anggota mengalami kecederaan ringan kebanyakannya dalam bentuk calar. Mereka seterusnya telah dibawa ke klinik penjara untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut oleh pegawai perubatan. Hasil pemeriksaan dan rawatan tersebut didapati banduan berkaitan tidak memerlukan rawatan lanjut. Begitu juga tiada kejadian memukul berlaku selepas banduan berkenaan telah dapat dikawal dan masuk ke bilik masing-masing. Bukan sebaliknya sepertimana yang dilaporkan oleh portal berkenaan.
5.Pengarah Penjara Sungai Buloh sendiri telah masuk berjumpa dengan banduan-banduan berkenaan dan mereka berpuashati dengan penjelasan yang diberikan. Walau bagaimanapun bagi mengelakkan sebarang bentuk keraguan, laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini di Balai Polis Batu Arang pada 5 Januari 2012. Di samping itu Lembaga Siasatan Jabatan Penjara juga telah ditubuh untuk menjalankan siasatan lanjut. Jabatan Penjara tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang bertindak melakukan kekerasan di luar dari batasan peraturan yang ada.
Sekian, terima kasih.
(SUPRI BIN HASHIM)
Ketua Seksyen Dasar
Bahagian Dasar Kepenjaraan
Jabatan Penjara Malaysia
Tarikh:13 Januari 2012


















13 January 2012
Kenyataan Media/Akhbar