web analytics

Kenyataan Media – Kuantan Cawangan Terkini Pusat Setempat Program 6P Pada 3 Januari 2012 (Selasa)

3 January 2012

Kenyataan Media/Akhbar

  1. Bagi melancarkan prosedur serta proses pemutihan Program 6P, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menambah satu lagi cawangan pusat setempat (one stop centre) yang dijadualkan mula beroperasi di Kompleks KDN Kuantan, Pahang, bermula esok (Rabu, 4 Januari 2012).
  2. Pembukaan cawangan ini bertujuan mengurangkan tumpuan dan kesesakan di pusat setempat utama di Putrajaya, sekali gus memberi kemudahan dan pilihan kepada majikan di Pahang, Kelantan dan Terengganu untuk menguruskan permohonan mereka tanpa perlu hadir ke ibu pejabat Imigresen di sini.
  3. Dengan keputusan ini, bermakna lapan (8) pusat setempat telah disediakan kerajaan bagi mengendalikan proses pemutihan Program 6P iaitu di pejabat Imigresen (Ibu Pejabat Putrajaya, Presint 15 dan Pelabuhan Klang); Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya; dan di Kompleks KDN (Jalan Duta, Johor Bahru, Seberang Jaya dan Kuantan).
  4. Sama seperti semua pusat setempat yang lain, cawangan di Kuantan juga akan beroperasi 24 jam setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad sehingga selesai proses pemutihan yang dijadualkan tamat 10 Januari 2012.
  5. Melainkan permohonan pertukaran majikan oleh PATI, semua urusan di cawangan Kuantan adalah sama dengan operasi di pusat setempat Putrajaya, iaitu permohonan ID untuk majikan mengemaskini data PATI, permohonan Surat Makluman kepada kedutaan, pemprosesan permohonan pengambilan pekerja asing, pembayaran levi dan pengeluaran Surat Kelulusan Pemutihan.
  6. Untuk urusan pembantu rumah asing, kerajaan bersetuju memberi pilihan kepada majikan untuk mewakilkan keseluruhan permohonan pemutihan kepada syarikat pengurus. Bagaimanapun, surat kebenaran wakil masih perlu dikemukakan kepada agensi kawal selia.   

Disediakan:

Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri, Aras 9,
Blok D1, Kompleks D,
Putrajaya.

No. Telefon: 03 – 8886 8000

, , , ,