
Putrajaya, 5 Januari 2012 – YB Dato’ Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam negeri telah mengadakan lawatan ke Pusat Setempat (One Stop Centre) Proses Pemutihan Program 6P di Dewan Serbaguna, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Presint 2, Putrajaya.

Dalam sidang media yang diadakan, Dato’ Lee berkata tarikh akhir proses pemutihan adalah pada 10 Januari 2012 (Selasa). Sehubungan itu, beliau meminta agar majikan dan syarikat pengurus yang masih belum melakukan pemutihan kepada PATI masing-masing agar dengan kadar segera ke mana-mana pusat setempat yang diwujudkan untuk bertindak dan tidak menunggu sehingga ke saat akhir.

YB Dato’ Lee juga memaklumkan kepada media sehingga hari ini 5 Januari 2012, sejumlah 133,156 pekerja/pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada 16,680 majikan telah diputihkan menerusi tujuh pusat setempat Program 6P sejak proses pemutihan bermula 10 Oktober 2011. Daripada jumlah tersebut, angka paling tinggi dicatatkan pusat setempat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya yang merekodkan 13,387 permohonan majikan bagi pemutihan 118,457 PATI; diikuti Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Seberang Jaya, Pulau Pinang (1,325 majikan; 4,759 PATI); Kompleks KDN Johor Bahru, Johor (1,022 majikan; 4,583 PATI); Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya (530 majikan; 2,760 PATI); JIM Presint 15 (167 majikan; 1,407 PATI); Kompleks KDN Jalan Duta (175 majikan; 943 PATI), JIM Pelabuhan Klang (60 majikan; 208 PATI) dan Kompleks KDN Kuantan, Pahang (14 majikan, 39 PATI).


Bagi majikan yang sedang menunggu kelulusan dokumen/passport daripada Kedutaan dan dijangka akan siap selepas 10 Januari 2012, majikan berkenaan tidak perlu bimbang memandangkan boleh berurusan terus dengan Pusat Pemutihan selepas mendapatkan dokumen tersebut untuk proses selanjutnya.


















12 January 2012
KDN Sana Sini