
Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan satu majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk tahun 2011. Majlis yang bertempat di Dewan Auditorium, Aras 5, Blok D8, Kompleks D ini telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Wira Abu Seman bin Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa, diikuti nyanyian lagu Negaraku dan Maju dan Sejahtera yang diketuai oleh Kumpulan Koir KDN. Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan bacaan ikrar Akta Rahsia Rasmi yang diketuai oleh Y.Bhg. Dato’ Mohmed Asri bin Yusof, SUB (KP) KDN dan seterusnya mendengar bacaan Amanat Tahun Baru yang disampaikan oleh Y.Bhg. Timbalan Menteri Dalam Negeri.


Y.Bhg. Dato’ Wira Abu Seman, dalam ucapan beliau telah mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima anugerah dan berharap agar prestasi kerja cemerlang tersebut dapat dikekalkan. Selain itu, beliau juga menegaskan kakitangan KDN perlu memupuk kasih sayang di tempat kerja yang mana meliputi semangat setiakawan dan sentiasa hormat- menghormati dan menjadikan KDN sebagai satu keluarga yang besar dan harmoni.


Anda tidak tewas kalau anda terjatuh, namun anda tewas jika anda tidak bangkit semula’ merupakan kata-kata semangat yang disampaikan oleh Y.Bhg. Dato’ Wira Abu Seman kepada semua kakitangan KDN yang hadir dalam majlis tersebut sebagai mengakhiri ucapan dan penyampaian amanat dari beliau dan seterusnya menyempurnakan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada seramai 256 orang pegawai. Syabas dan Tahniah.



















16 January 2012
KDN Sana Sini