
Kuantan, 18 Januari : Perhimpunan Bulanan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang Bil 1/2012 telah diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks KDN Indera Mahkota, Kuantan pada 12 Januari yang lalu melibatkan kakitangan AADK Negeri Pahang dan AADK Daerah Kuantan. Perhimpunan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ikrar AADK dan sesi tazkirah bertajuk “Kerja Kerja Juga, Ibadah Jangan Tinggal” oleh Ustaz Mahmud bin Mat.

Dalam ucapan Pengarah AADK Negeri Pahang Encik Azmi bin Mustafa, beliau berharap agar semua kakitangan AADK Negeri Pahang dapat meningkatkan usaha bagi memastikan program-program yang dirancang bagi tahun 2012 dapat dilaksanakan dengan lancar. Beliau turut mengingatkan tentang pengukuhan hubungan dan kerjasama yang baik di antara pegawai dan kakitangan tanpa mengira pangkat bagi memantapkan lagi organisasi seterusnya dapat mencapai wawasan negara.

Berdasarkan transformasi yang telah dilaksanakan oleh AADK, kini perkhidmatan yang diberikan dirasai dan disenangi oleh masyarakat. “AADK akan menambahkan bilangan Klinik Cure & Care 1Malaysia, Cure and Care Service Centre (CCSC), Caring Community House (CCH) dan yang terbaharu ialah PUSPEN Sungai Ruan telah dijadikan Klinik Cure & Care 1Malaysia” tambah beliau lagi. Encik Azmi juga berharap setiap pegawai dan kakitangan hendaklah berusaha menguasai kemahiran berkomunikasi dan memantapkan diri dengan info-info terkini tentang dadah agar dapat menyampaikan maklumat dan kesedaran kepada orang awam dengan berkesan.
Oleh : Nor Afzan Bt Abdul Rahman


















18 January 2012
KDN Sana Sini