web analytics

Majlis Penganugerahan Dokumen Pengenalan Diri Kempen MyDaftar

15 February 2012

KDN Sana Sini

Kuala Lumpur, 14 Februari 2012 – Seratus (100) pemohon dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima dokumen pengenalan diri mereka yang disampaikan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak hasil kempen MyDaftar yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 19 hingga 26 Februari 2011.

Kempen yang dilaksanakan KDN menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF) ini diadakan serentak di seluruh negara kecuali Kelantan, Terengganu, Sabah serta Sarawak. Hasilnya, sehingga 31 Disember 2011, sejumlah 9,529 berjaya diproses membabitkan dokumen kewarganegaraan, sijil lahir, pindaan butiran sijil kelahiran, permohonan anak angkat, pendaftaran perkahwinan dan kad pengenalan. 

Berdasarkan statistik tersebut, angka paling tinggi atau 6,527 permohonan telah direkodkan bagi taraf kewarganegaraan, diikuti daftar lewat kelahiran (1,778); kad pengenalan (913); pendaftaran perkahwinan (222); pindaan butiran sijil lahir (88) dan permohonan anak angkat (1).

Sementara itu, daripada 100 pemohon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menerima dokumen pengenalan diri mereka menerusi majlis hari ini, 33 daripadanya adalah penerima yang diluluskan di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu permohonan kewarganegaraan dengan cara masukan (naturalisasi) bagi individu berusia lebih 21 tahun dan memegang taraf Permastautin Tetap Malaysia sekurang-kurangnya 12 tahun.

Statistik ini diikuti 25 penerima yang diluluskan di bawah Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu permohonan taraf kewarganegaraan oleh isteri warga asing (penduduk tetap Malaysia) kepada suami bertaraf warganegara Malaysia. Jumlah sama (25 penerima) turut diluluskan di bawah Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan bagi permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia oleh individu berusia 18 tahun ke atas yang dilahirkan dalam Persekutuan sebelum Hari Merdeka.

Angka tersebut disusuli 16 penerima yang diluluskan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan untuk permohonan kewarganegaraan bagi kanak-kanak berusia bawah 21 dalam keadaan khas seperti anak angkat, dan terakhir adalah satu (1) pemohon yang diluluskan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan untuk permohonan taraf kewarganegaraan oleh ibu atau bapa atau penjaga yang bertaraf warganegara Malaysia bagi kanak-kanak berusia bawah 21 tahun.

Dengan penganugerahan dokumen tersebut, kesemua 100 penerima ini layak menikmati segala faedah setaraf yang diterima warganegara Malaysia, antaranya kemudahan bantuan perubatan, pendidikan dan bantuan kebajikan,  dan sekiranya berumur 21 tahun ke atas, mereka adalah layak berdaftar sebagai Daftar Pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

, , ,